Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 12, 2017

[PEKAN] DVS BANTU 313 PENTERNAK


DVS bantu 313 penternak


Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Pahang memperuntukkan RM10,000 bagi menyediakan makanan kepada lebih 10,000 ternakan membabitkan 313 penternak di negeri ini yang terjejas banjir.

Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, dua jenis makanan dibekalkan kepada lembu, kerbau, kambing dan biri-biri iaitu palet hampas isirong palma (PKC) dan rumput proses (Silej) dalam tempoh 10 hari.

Menurutnya, pihaknya mendapat kerjasama Group Transformasi Ruminan (GTR) yang memberi bantuan makanan kepada ternakan terkepung banjir.

“Bantuan makanan ternakan diberikan secara berperingkat kepada penternak di daerah terlibat banjir bermula hari pertama lagi.

“Daerah ini (Pekan) paling banyak ternakan terkepung iaitu lebih 2,400 milik 130 penternak, diikuti Jerantut 1,500 ternakan milik 63 penternak dan Kuantan lebih 1,000 ternakan milik 36 penternak,” katanya.

Dr Norlizan berkata, 29 penternak di Bera, Lipis (23), Temerloh (14), Maran (10) dan Rompin (8) turut berdepan masalah ternakan terkepung banjir selain kawasan ragut ditenggelami air.

Katanya, pihaknya tidak menerima aduan ternakan lembu, kerbau, kambing dan biri-biri mati disebabkan lemas dan kelaparan ketika banjir kali ini.

“Selain makanan dibekalkan jabatan, kebanyakan penternak di beberapa daerah bersedia lebih awal dengan menyediakan makanan palet PKC beberapa minggu sebelum banjir.

“Jabatan sentiasa berusaha membantu penternak di negeri ini dengan mewujudkan beberapa pasukan khas setiap daerah yang bertanggungjawab dalam pelbagai perkara pada musim tengkujuh dan selepasnya,” katanya.

Beliau berkata, antara pasukan ditubuhkan adalah tindakan pantas, pindah, bilik gerakan dan kebajikan yang akan memastikan penternak tidak berdepan masalah.

“Banjir di daerah ini beberapa minggu lalu menyebabkan pegawai Pejabat Veterinar Daerah bertugas hampir 24 jam memantau paras air terutama di kawasan terdapat ternakan yang terkepung dengan banjir,” katanya.


0 comments:

share2