KUALA LUMPUR: "Saya hanya sedar tak normal seperti lelaki lain ketika berusia 13 tahun apabila payudara mulai membesar seperti perempuan, tiada bulu roma, kulit menjadi semakin licin dan suara menjadi lembut macam perempuan," kata khunsa yang mahu dikenali sebagai Mayang.
Kerana perubahan ketara fizikalnya itu, Mayang diejek, dihina dan disisih rakan yang menganggapnya seperti 'makhluk asing'.
Dari segi perubatan, keadaan Mayang dikenali sebagai sindrom Androgen-Insensitivity, satu daripada ciri khunsa tidak nyata yang memiliki profil kromosom lelaki 46, XY walaupun alat kelamin luaran kelihatan seperti alat kelamin wanita atau tidak nyata.
"Ketika kecil, saya kelihatan seperti lelaki normal tetapi apabila meningkat dewasa doktor mengesahkan kegagalan proses maskulinisasi saya.
"Mengikut doktor, hormon kelelakian saya iaitu testosterone dirembeskan tetapi sel-sel sasaran dalam tubuh saya kurang mengenalpasti hormon berkenaan.
"Akibatnya, apabila meningkat dewasa, ciri kewanitaan lebih menonjol berbanding ciri kelelakian dan saya kemudian memilih jantina yang lebih dominan," katanya kepada BH PLUS.
Akibat keadaannya mulai usia 13 tahun, Mayang juga mengalami insiden hitam dalam hidupnya apabila dicabul sekumpulan pelajar lelaki ketika masuk ke tandas lelaki sekolahnya ketika usia 15 tahun.
Insiden itu berlaku selepas waktu persekolahan. Sejurus keluar daripada tandas dia dihalang oleh lapan pelajar lelaki yang meraba tubuh badannya, termasuk di bahagian payudara kerana sudah semakin membesar.
Mayang berkata, dia merayu mereka menghentikan perbuatan itu namun rintihannya tidak dipedulikan sehinggalah pelajar lain masuk ke tandas itu.
Menurut Mayang, menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelaki bukan mudah, selain sukar melanjutkan pengajian ke universiti tempatan.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana diterima sebuah kolej swasta walaupun dengan pembiayaan sendiri.
"Saya berharap pihak berwajib meneliti semula dan mempermudahkan permohonan penukaran jantina individu seperti saya dengan sokongan perubatan agar golongan khunsa sepertinya mendapat pembelaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Sulaiman Keling, memberitahu BH PLUS, rekod jabatannya di antara tahun 2011 hingga tahun 2014 menunjukkan ada 30 permohonan untuk penukaran jantina.
"Bagaimanapun, permohonan itu tidak diluluskan. Pemohon mesti mendapat perintah atau keputusan mahkamah," katanya.
0 comments:
Post a Comment