Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 3, 2015

SUHU KUNDASANG MAKIN PANAS





RANAU: Kundasang dan kawasan sekitar kaki Gunung Kinabalu, di sini, yang menjadi tarikan pelancong ke Sabah, dikatakan berdepan kemusnahan alam sekitar sama seperti Cameron Highlands.


Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini suhu di Kundasang dikatakan meningkat akibat penerokaan tanah pertanian secara berleluasa, pembangunan pesat dan pembukaan kebun baharu.

Sukar membuktikan sama ada suhunya meningkat seperti didakwa kerana sehingga kini tiada alat pengukur suhu milik agensi berkaitan ditempatkan di kawasan terbabit sebagai rujukan, kecuali melalui cakap-cakap serta pengalaman penduduk asalnya.

Bagaimanapun, ada penduduk mula memasang kipas di kediaman mereka sejak beberapa tahun lalu (berbanding sebelum 1990-an), sekali gus menguatkan dakwaan hawa udara di pusat peranginan pergunungan tersohor di Borneo itu semakin 'hangat' dari hari ke hari.

Ketika ini, pengkaji menganggarkan suhu di kawasan tanah lembah ini ialah sekitar 18 darjah Celsius dan mampu mencecah 30 darjah Celsius, berbanding sekitar 10 hingga 18 darjah Celsius sebelum 1990-an.

Banyak berubah

"Dulu orang sini pakai baju tiga lapis pada siang hari... sekarang malam pun boleh pakai kemeja-T.

"Suhu di Kundasang banyak berubah, dulu pelancong yang datang pakai baju tebal, ada juga menggigil pada waktu malam. Tetapi sekarang tidak sedingin dulu," kata penduduk Kampung Kundasang yang hanya mahu dikenali sebagai Ajid, berusia sekitar 50-an.

Kebanyakan penduduk yang ditemui BH memberi beberapa sebab yang mungkin menjadi punca suhu dikatakan meningkat di Kundasang iaitu penerokaan tanah pertanian secara berleluasa, pembangunan pesat dan pembukaan kebun baharu.

Tinjauan di Kampung Mesilou, berhampiran kaki Gunung Kinabalu mendapati, ada kawasan bukit ditarah dipercayai untuk penanaman semula termasuk membina chalet dan inap desa.

Beberapa penduduk mendakwa perbezaan ketara suhu di daerah itu juga mempunyai kaitan dengan pertambahan rumah dan penduduk, selain penggunaan racun serangga yang diamalkan sejak bertahuntahun lalu.

Tinjauan juga mendapati, ada pekebun di Kampung Mesilou memasang kalis hujan di kebun mereka sejak tahun 1980-an bagi menghalang panas matahari berikutan suhu tidak lagi sedingin dulu, selain mengelak tanaman rosak terkena hujan.

Saban tahun, Kundasang menerima kunjungan ribuan pelancong dalam dan luar negara, terutama dari Semenanjung menyebabkan hotel, chalet serta inap desa sentiasa penuh pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

Bagi pelancong berkeluarga, kunjungan ke Kundasang biasanya untuk merasai suhu sejuk sambil menghirup udara segar disulami pemandangan indah kaki Gunung Kinabalu, manakala orang perseorangan dan berkumpulan datang dengan misi menawan puncak tertinggi di negara ini.

Walaupun hanya sebuah pekan kecil, Kundasang menyediakan kemudahan seperti hotel, motel, chalet dan inap desa bagi memberi keselesaan kepada pelancong.

INFO

Kundasang

* Lebih 10 kampung di Kundasang

* Kira-kira 95 kilometer dari Kota Kinabalu

* Terletak di kaki Gunung Kinabalu

* Aktiviti utama penduduk ialah berkebun dan mengusahakan inap desa serta resort

* Suhu ketika ini antara 18 hingga maksimum 30 darjah Celcius



0 comments:

share2