Soalan: Umat Islam di mana-mana menghadapi perpecahan yang serius. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan ianya berlaku?
ISMAIL : Faktor utamanya yang membawa perpecahan umat ialah kejahilan atau kedegilan terhadap ajaran-ajaran Islam yang benar, serta kekotoran jiwa yang merupakan tanah berbaja dalam memujakan hawa nafsu dan mengutamakan kemaslahatan peribadi atau puak masing-masing ke atas yang lain.
Ingatlah bahawa Islam melarang perpecahan walaupun dibenarkan perselisihan dalam beberapa permasalahan yang tidak membawa perpecahan, kerana bukanlah setiap perselisihan itu perpecahan, seperti kenyataan perselisihan yang berlaku di kalangan para sahabat r.a., tetapi tidak membawa perpecahan dan berpuak-puak yang tercela, bahkan semata-mata perselisihan yang bukan hasil daripada sebab perpecahan atau bukan membawa perpecahan adalah sunat Allah yang sering terjadi dan terkawal daripada kemasukan unsur-unsur perpecahan yang tercela.
Firman Allah Taala;
Pertama, (Al-Imran: 105)
Maksudnya: Dan janganlah engkau menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berpecah belah dan berselisihan (dalam agama) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (dari Allah dan rasul-Nya). Dan mereka itu akan beroleh azab seksa yang besar.
Itulah tabiat orang Yahudi dan Nasrani, mereka sering berselisihan dan berpecah belah kepada beberapa puak, padahal kitab mereka hanya satu (Al Wahidi).
Zahir ayat ini adalah didahului dengan perkataan “tafarraqu" (perpecahan) yang selaku punca perselisihan “wakhtalafu" dalam agama, kerana perpecahan sering melahirkan dendam kesumat di antara pihak-pihak yang berpecah walaupun sesetengah masalah itu di sudut alamiah, tidak patut berselisihan lagi. Apalagi perpecahan ini sering berlaku di antara orang yang berilmu setelah sampai kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas, tetapi oleh kerana hatinya telah pecah dan rosak serta merosakkan asal fitrahnya yang bersih untuk dapat menerima kebenaran-kebenaran itu, lalu mereka tetap bersalahan dan berpecahan. Subhanallah!
Kedua, (Al-Syura: 13)
Maksudnya: Bahawa hendaklah kamu dirikan addin (Al Islam) dan janganlah kamu berpecah belah padanya.
Demikianlah perintah Allah kepada para rasul-Nya SAW dan umat Islam seluruhnya, iaitu bersatu padu dalam menegakkan Islam kerana itu adalah tugas asasi bagi sekelian para Rasul Allah dengan penganutnya di setiap masa dan tempat. Dan sebesar-besar permasalahan dalam usaha itu ialah perpecahan yang tercela, lalu dilarang.
Maksudnya: Dan janganlah kamu berpecah belah padanya. Kerana tujuan (iqamatuddin) amat berlawanan dengan gejala (tafaruq fiddin) yang menyentuh semua cara hidup muslim.
Ketiga, (Al-Syura: 14)
Maksudnya: Dan umat tiap-tiap rasul itu tidak berpecah belah (dalam menjalankan hidup beragama) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang menerangkan hakikat yang sebenar. Berlakunya hal itu adalah semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.
Hasad dengki di antara beberapa pihak sama ada di antara pemimpin mahupun pengikut, sama ada di antara kumpulan mahupun peribadi adalah dorongan utama berlakunya perpecahan yang tercela di tengah-tengah penerangan yang jelas dari Rasulullah SAW melalui al-Quran atau hadis dalam satu-satu permasalahan. Subahanallah! Dan sifat hasad dengki adalah punya kaitan yang rapat dengan maslahat-maslahat dunia, yang tercela yang sering membutakan mata manusia, hatta orang yang digelarkan ulama pun. Subhanallah!
Adapun perpecahan yang tidak berasaskan perasaan hasad dengki dan apa-apa maslahat dunia yang tercela maka sering dapat dikeluarkan dan diselesaikan menerusi penerangan-penerangan yang jelas daripada Allah dan rasul-Nya melalui usaha nasihat para ulama yang ikhlas.
Seminar antarabangsa fikah taat pemimpin yang baru berlangsung di Kuala Lumpur menampilkan ilmuwan dan ulama dari Arab Saudi yang menyatakan dengan jelas isu mempolitikkan Islam dan politik Islam dalam erti kata yang luas. Apa pandangan Dr?
ISMAIL: Saya tidak menyertai seminar itu dan tidak ada apa-apa maklumat mengenainya, dengan itu saya tidak ada pandangan terhadapnya, cuma taat kepada pemimpin Islam telah makruf dalam Islam maka adalah wajib selama mana perkara itu bukan maksiat dan ajaran-ajaran Islam menyeluruhi semua lapangan hidup, termasuk politik. Tujuan al-Islam ialah pentadbiran urusan dunia dan menjaga kesucian addin, serta penumpuan terhadapnya.
Malaysia dianggap sebagai negara Islam dan bukannya negara sekular. Apakah pandangan Dr. mengenai hal ini?
ISMAIL: Kalau benar apa yang dikatakan itu maka itulah yang dikehendakinya. Dan kalau sebaliknya maka perlu diislah dan diperbetulkan secara terus-menerus. Islam agama universal, yang rahmatnya bukan khusus untuk orang Islam sahaja, malahan untuk semua manusia sebagai agama rahmatul alamin. Oleh itu orang bukan Islam tidak harus khuatir terhadap negara Islam sama sekali, kerana hak-hak asasi bagi warganegara yang selaku manusia dalam semua agama adalah wajib diamati oleh negara Islam dalam pentadbirannya dengan cukup adil.
Usaha muzakarah UMNO dan Pas nampaknya tidak terjadi, sebaliknya Pas melakukan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP yang nyata mendokong sosialis demokratik. Apakah ia bijak dalam konteks ummah wahdah (perpaduan umat)?
ISMAIL: Ummah wahdah adalah dasar hidup Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia adalah lambang perpaduan orang Islam sesama mereka, tidak boleh berseteru sesama orang Islam, walau setakat mana pun daif imannya walaupun dengan orang-orang yang nyata belang-belang nifaknya. Adapun dengan orang yang bukan Islam hendaklah difahami bahawa kita orang Islam yang selaku ummah wahdah, disuruh supaya bekerjasama dengan orang bukan Islam yang bukan ummah wahdah di atas dasar menegak kebaikan dan melahirkan kemajuan yang berasaskan takwa kepada Allah, bukan di atas dasar menyeterui mana-mana pihak, terutama dengan pihak sesama Islam sebagaimana ternyata dalam Piagam Madinah. Wallahualam.
Dr telah menulis buku ummah wahdah berbicara mengenai kesatuan umat. Apakah jalan bijaksana yang harus diteroka oleh umat Islam di Malaysia supaya kekuatan umat terjadi dan kuasa politik tetap di tangan umat Islam?
ISMAIL: Para pemimpin umat Islam daripada apa parti pun pasti berusaha dengan ikhlas, benar dan sabar ke arah melahirkan kesatuan umat dengan menjalankan dasar-dasar pembinaan ummah wahdah.
Pertama, (Al-Anbia: 92-93)
Maksudnya: Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu semua, agama yang satu dan akulah tuhan kamu. Beribadatlah kamu kepada aku (tetapi kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah belah dalam urusan agama mereka.) Ingatlah mereka sekeliannya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).
Kedua, (Al-Mukminun: 52-53)
Maksudnya: Dan sesungguhnya agama tauhid (yang dibawa oleh semua rasul Allah) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan aku adalah tuhanmu maka bertakwalah kepada aku, kemudian mereka (pengikut-pengikut rasul itu) berpecah belah menjadi beberapa pecahan. Tiap-tiap golongan berbangga dengan apa yang ada pada sisi mereka masing-masing.
Ketiga, Di antara surat perjanjian setia di antara orang Islam dengan orang Yahudi al-Madinah ialah:
(Siratul Nabawiah Laban Khatir: 320/2)
Maksudnya: Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani, ini adalah kitab (perjanjian) daripada Muhammad nabi yang ummi (yang dibuat) di antara orang muslimin dan mukminin daripada Quraisy dan Yathrib ( Madinah al munawarah) dan mereka yang mengikuti mereka dan berjuang bersama mereka, bahawa mereka itu adalah umat yang satu (ummah wahdah) dan sesungguhnya orang Yahudi bani Auf juga satu umat bersama orang mukminin, bagi orang Yahudi memeluk agama mereka dan bagi orang Islam memeluk agama mereka. Dan bahawa di antara mereka pakatan tolong menolong dalam memerangi orang yang memerangi ahli perjanjian ini. Dan bahawa di antara mereka hendaklah bersikap bersih hati dan ikhlas bantu-membantu, nasihat dan kebaikan tanpa apa-apa perbuatan jahat yang berdosa.
l Intisari ayat:
Di antara intisari ayat-ayat di atas ialah:
1. Ciri ummatan wahidat (umat yang satu) ialah beribadat kepada Allah selaku tuhannya yang tunggal dengan cukup takwa kepada-Nya.
2. Dua cara hidup (ibadat dan takwa yang sebenar) itulah yang merupakan asas pendekatan, perpaduan dan pembentukan ummatan wahidat.
3. Kesemua orang Islam sama ada Muhajirin dan Ansar juga orang yang ikut mereka dan berjihad bersama mereka, daripada orang yang datang selepas mereka, sama ada yang mukminin dan muslimin adalah ummatan wahidat pada permulaan lahirnya di zaman Nabi Muhammad SAW. Itulah dasar hidup umat Muhammad SAW yang selaku Ahli Sunnah Wal Jamaah.
4. Yang lain daripada ummatan wahida’ adalah kumpulan yang tidak beribadat hanya kepada Allah dan tidak bertakwa kepada-Nya, kesemuanya selaku kelompok dan puak-puak yang sering berbangga-bangga dengan apa yang ada pada puak masing-masing di dunia dan kesemua umat itu akan dikembalikan kepada Allah jua untuk dimahkamahkan dan diberi balasan yang sewajarnya.
5. Umat yang bukan daripada ummatan wahidat seperti orang Yahudi atau sebagainya, selama mereka tidak memusuhi ummatan wahida’ maka mereka, menurut pandangan Islam, dianggap sebagai salah satu umat yang bersama-sama dengan ummatan wahidat untuk berkenal-kenalan, bersefahaman dan bekerjasama demi melahirkan kedamaian hidup umat manusia sejagat.
6. Sahifat al-Madinah adalah contoh kenabian (qudwatun nabawiah) yang menggalakkan umatnya dengan garis panduan yang jelas di sudut mengadakan ikatan janji kerjasama dan bela membela bertujuan mulia dan damai di antara ummatan wahidat dari kalangan orang Islam di satu pihak dengan semua umat dari berbagai-bagai agama di satu pihak yang lain dalam rangka membela negara Islam dan maslahatnya, seperti al-Madinatul Munawarah.
Pak Muhammad Natsir, Perdana Menteri Indonesia yang pertama dalam bukunya Fiqh Ad-Dakwah menyatakan bahawa walaupun beliau seorang ahli politik tetapi jalur dakwah masih menjadi keutamaannya. Apakah pandangan Dr mengenai hal ini?
ISMAIL: Dakwah adalah kerja utama para rasul Allah, mereka merupakan pemimpin umat di zaman mereka dan merupakan tauladan yang baik kepada semua pemimpin Islam, dengan itu, setiap pemimpin umat Islam yang selaku ummah wahdah di zaman ini hendaklah menjiwai roh dakwah kepada Allah dan kepada agamanya yang tinggi dalam semua urusan dan rancangan atau agenda negaranya, sama ada yang berjangka pendek atau panjang, kerana itulah hakikat rahmat yang dihajati oleh seluruh umat manusia dalam hidup mereka.
Sesetengah kelompok politik di Malaysia melaksanakan gaya politik berdendam sehingga pertimbangan wahdah hilang kerana kerusi dan kuasa. Apakah ini perkembangan yang sihat ke arah ummatan wahidat?
ISMAIL: Ini adalah suatu gejala hitam yang merosakkan jiwa dulu dan sekarang terutama pemimpinnya, ia merupakan fenomena yang tidak diingini kerana dalam Islam tidak dibenar dendam dan dengki sama sekali, bahkan itulah punca sejarah kejahatan memasuki hamba-Nya yang merintis jalan neraka iaitu melalui dari sejarah iblis menolak perintah Allah supaya menghormati Adam a.s. atas dasar takbur dan dengki dengan alasan palsu yang tidak diterima oleh Allah. Subhanallah! Saya berdoa semoga Allah membaiki hati-hati hamba-Nya serta membaiki segala urusan negara.
Terdapat tokoh politik di Malaysia yang dipertikaikan wibawanya kerana terlibat dengan faham pluralisme dan dakwaan moral. Apakah keadaan ini menyumbang kepada kekuatan politik umat Islam?
ISMAIL: Islam adalah agama Allah, pencipta segala langit dan bumi yang tidak bercampur sedikit pun dengan kebatilan. Orang Islam disuruh bermuamalat terhadap orang bukan Islam di atas dasar menghormati hak-hak kemanusiaan, bukan membenarkan kebatilan ajaran mereka sama sekali, kerana Allah telah menegaskan bahawa (Al-Baqarah: 147); Maksudnya: Kebenaran itu hanya dari Tuhanmu sahaja, maka janganlah sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu.
Dan firman-Nya lagi: (Yunus: 32).
Maksudnya: Dan tidak ada selain daripada al-haq yang didatangi oleh Allah (Al-Islam) kecuali kesesatan (Al-Jahiliah). Itulah tabiat orang yang zalim, mereka tetap meraba-raba dalam kebatilan mereka di tengah-tengah keterangan Al-Islam yang amat jelas di dunia ini, sementara mereka mengadap Allah nanti. Dengarlah firman Allah pencipta sekelian manusia mengenai mereka pada hari akhirat kelak. Firman-Nya lagi, (Maryam: 38)
Maksudnya: Sesungguhnya jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang bukan Islam itu, terhadap hakikat Allah dan kebenaran agamanya Al-Islam, semasa mereka datang mengadap kami (yakni Allah) pada hari akhirat kelak, tetapi orang yang zalim itu pada masa di dunia ini, masih tetap berada dalam kesesatan yang nyata.
Ingatlah bahawa kita umat Islam disuruh kufurkan terhadap segala ajaran yang bercanggah dengan Al-Islam sebelum beriman dengan ajaran-Nya sebagai bara’a sebelum wala’a. Dengarlah firman Allah: (Al-Baqarah: 256)
Maksudnya: Maka barang siapa yang kufur dengan taghut (iaitu semua peribadatan kepada yang lain dari Allah) serta beriman dengan Allah (hanya tunggal) maka ia telah berpegang dengan tali simpulan yang teguh, tidak akan terurai sama sekali. Dan Allah adalah amat mendengar lagi amat mengetahui. Dan memang itulah hakikat syahadat pertama kita yakni aku bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah kecuali hanya Allah, yakni tidak cukup beriman dengan Allah sekiranya tidak didahului dengan kufur terhadap semua taghut. Saya percaya bahawa tidak ada pemimpin umat Islam di Malaysia yang pertikaikan maslahat hakikat bara’a dan wala’a. Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment