Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 22, 2012

Cermin Mata Percuma Untuk Rakyat


JERANTUT - Yayasan Felda menyediakan 2,000 cermin mata percuma kepada pengunjung tapak pelancaran Skim Bantuan Kasih Felda di padang awam Felda Padang Piol.

Pemberian cermin mata percuma itu merupakan salah satu kerja amal Yayasan Felda melalui Program Prihatin Penjagaan Mata yang diadakan sempena pelancaran Skim Bantuan Kasih Felda yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di tanah rancangan tersebut.

Pengarah Yayasan Felda, Mohd. Banuri Aris berkata, sebelum mendapatkan cermin mata percuma, orang ramai dikehendaki menjalani pemeriksaan terlebih dahulu.

"Kami telah membawa 10 doktor sukarela bersama jururawat untuk melakukan pemeriksaan percuma kepada orang ramai yang datang ke sini sejak Khamis terutama peneroka dan warga emas.

"Sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan yang biasa seperti demam dan selesema, doktor akan terus memberi ubat kepada pesakit manakala mereka yang dikesan mengidap penyakit kronik pula diminta merujuk ke hospital berhampiran," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan, orang ramai boleh membuat pemeriksaan mata dan mereka yang didapati menghadapi masalah rabun jauh dan dekat akan diberi pilihan untuk memilih bingkai cermin mata.

"Pemeriksaan mata ini melibatkan kanak-kanak hingga ke warga emas, namun kami hanya menyediakan untuk 2,000 orang dan mereka akan mendapat cermin mata yang lengkap empat minggu kemudian," ujarnya.

Menurutnya, program pemeriksaan kesihatan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan terutama daripada peneroka dan warga emas kerana mereka mungkin susah untuk ke klinik mahupun hospital sebelum ini.

"Saya gembira kerana program yang kami jalankan mendapat sambutan daripada orang ramai dan program yang sama akan diteruskan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Tambahnya, aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh yayasan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada program anjuran Felda, sebaliknya turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

0 comments:

share2