Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 22, 2012

Dapat Bekalan Elektrik 24 Jam

RAUB - Lebih 600 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ara dan Kampung Balongan mula menerima bekalan elektrik 24 jam sehari sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, kerajaan Pusat memperuntukkan RM2.71 juta bagi membina infrastruktur membekalkan elektrik di dua buah perkampungan tersebut.

Katanya, projek tersebut yang dimulakan tahun lalu membolehkan masyarakat Orang Asli menikmati pembangunan kerajaan sekali gus mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan sama seperti rakyat lain.

"Projek bekalan elektrik itu dilaksanakan di bawah program bekalan elektrik luar bandar yang diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya kepada pemberita selepas majlis dialog Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan komuniti Dong di Ulu Gali di sini.

Katanya, selain penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Ara dan Kampung Balongan, seramai 200 penduduk Orang Asli Sungai Chandan juga mendapat bekalan elektrik 24 jam baru-baru ini yang membabitkan peruntukan RM117,000.

"Malah dengan adanya bekalan elektrik 24 jam itu, ia dapat membatu penduduk berkenaan meningkatkan ekonomi mereka dengan menjalankan projek industri kecil dan sederhana (IKS).

"Kira-kira 78 peratus perkampungan Orang Asli di daerah Raub sudahpun mempunyai kemudahan prasarana yang cukup, manakala usaha menyediakan prasarana selanjutnya dalam perancangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Orang Asli jangan lagi tinggal berselerak dalam kawasan kampung di pedalaman dan terpencil kerana jika amalan itu berterusan, maka sukar bagi kerajaan untuk melaksanakan pembangunan kepada mereka.

Katanya, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang membuat perancangan rapi untuk membangunkan perkampungan Orang Asli di sini supaya sama taraf dengan kampung baru atau kampung tradisional Melayu.

0 comments:

share2