Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 22, 2012

Bonus Aidilfitri Dalam Pertimbangan


PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedang menimbang kemampuan kewangan sebelum memutuskan mengenai permintaan bonus kakitangan awam sebelum Aidilfitri ini.

Perdana Menteri yang tersenyum apabila diajukan soalan tersebut berkata, keputusan berhubung perkara itu perlu berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.

"Itu nantilah, kita tengok buku kira-kira dulu. Namun apa-apa keputusan mesti berdasar kemampuan kerajaan," katanya.

Ditanya seterusnya sama ada kerajaan dalam kedudukan berkemampuan membayar bonus kepada kakitangan awam, Najib sekali lagi sambil ketawa kecil berkata:

"Itulah kita tengah semak dulu"

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Cek Durian Runtuh Penerokawati, Pakaian Kepada Pegawai Masjid, Sumbangan Apron dan Bantuan Cermin Mata di Pejabat UMNO Bahagian Pekan.

Terdahulu, Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan mempengerusikan Mesyuarat Tertutup Jentera Pilihan Raya UMNO Bahagian.

Pada 16 Julai lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) mengemukakan tuntutan bonus sempena Aidilfitri ini.

Sementara itu, ditanya laporan mengatakan lebih 50 peratus senarai calon yang dikemukakan parti komponen Barisan Nasional (BN) telah ditolak seperti disiarkan sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam, Najib berkata, perkara itu masih dalam semakan.

Katanya, soal calon termasuk yang dikemukakan UMNO juga masih belum dimuktamadkan.

"Kita hanya muktamadkan soal calon bila sampai masanya nanti. Maka semuanya (yang dilaporkan) bersifat spekulasi. UMNO pun kita masih tengok, semak dan belek lagi," jelasnya.

0 comments:

share2