Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 22, 2012

Apabila Meletakkan Politik Setanding Agama


UMAT Islam akan mula berpuasa pada hari Sabtu dan dalam masa sama ada segelintir terpaksa menyambutnya dalam suasana pilu kerana institusi keluarga dipertahankan tiba-tiba runtuh tanpa musibah yang besar atau disebabkan kematian salah seorang, sama ada suami atau isteri.

Hati seorang isteri menjadi lebih sayu apabila menerima kata putus dari seorang suami ketika menjelangnya Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, bulan makrifah, bulan penuh hikmah, bulan dimana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan amat dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam.

Peristiwa yang menimpa Che Hasnah Che Ahmad, 61, seorang guru agama apabila diceraikan talak satu oleh suaminya, atas alasan tidak menyokong perjuangan sebuah parti politik benar-benar menunjukkan betapa pudarnya makna perkahwinan yang mereka fahami dari sudut Islam. Penceraian pasangan warga emas seharusnya tidak berlaku atas alasan politik kerana jalinan perkongsian hidup selama 14 tahun telah mendewasakan mereka, saling memerlukan terutama ketika usia dan kesihatan diri semakin lemah.

Bagaimanapun, dalam menghadapi dugaan itu, Che Hasnah menjadi semakin kuat semangat berbanding bekas suaminya yang mungkin terkapai-kapai mencari arah. Meskipun Yahya mempunyai anak-anak yang sudah dewasa, tetapi dia sebenarnya memerlukan layanan lebih daripada apa yang anak-anak boleh lakukan, kerana mereka juga mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian.

Emosi sedih Che Hasnah akan terubat dengan kehadiran anak-anak yang terus mempercayai kebolehannya untuk mengajar mengaji manakala hari-hari selanjutnya akan menyebabkan Yahya seperti menyesal, tetapi apa boleh buat kerana nasi sudah menjadi bubur. Permohonan rujuk tidak diendahkan oleh bekas isterinya, kerana Che Hasnah tidak lagi sanggup dihina, dikeji dan seterusnya dimomokkan bahawa Islamnya tidak sampai ke mana dan matinya membawa ke neraka.

Sebenarnya penceraian yang berpunca dari perbezaan politik bukanlah perkara baru dalam masyarakat, kerana ia sudah mula berakar dan membarah sejak sebuah parti politik mendabik dada bahawa parti itu sahajalah yang berjuang atas prinsip Islam. Peristiwa penceraian kerana politik sudah berlaku sejak 1950-an kerana menganggap salah seorang anggota yang tidak menyokong parti itu sebagai kafir dan mereka yang disifatkan sebagai kafir adalah haram bergaul ataupun dijadikan pasangan hidup.

Perkembangan etos politik kafir itu jugalah membawa perpecahan dalam masyarakat: orang sekampung boleh bertetak (tentunya dengan parang atau golok), anak-anak ditinggalkan tanpa pembelaan, keluarga porak peranda dan keharmonian hidup tercalar kerana sembahyang dengan jemaah masing-masing manakala masakan pun dilakukan secara berasingan, daging sembelihan tidak menepati syarak, tidak bercampur dalam kenduri-kendara dan ziarah jenazah. Lebih mengecewakan ada segelintir pengikut politik tertentu tidak mahu menguruskan jenazah apabila kematian berlaku, sebaliknya lebih mudah berkata ''tanam saja di jirat".

Doktrin kafir sudah sebati dalam jiwa pengikut-pengikut politik yang mendakwa dirinya lebih Islam sehingga membentuk etos yang sukar dikikiskan. Inilah yang berlaku dalam diri suami Che Hasnah sehingga tidak ada lagi sifat toleransi dan menghormati kepelbagaian pandangan, hanya yang diketahuinya selagi tidak menuruti kehendak parti, selagi itulah terpaksa menelan pahit beristerikan Che Hasnah.

Mungkin juga kita tidak mendengar Cherrie Blair, isteri bekas Perdana Menteri Britain menghalau adiknya sendiri yang sudah pun memeluk Islam. Kita juga tidak pernah melihat ada paparan gambar David Miliband (Menteri Luar dan meletakkan jawatan pada 29 September 2010 apabila tewas kepada adiknya, Ed Miliband) ketika itu terpaksa bertumbuk dengan adiknya Ed Miliband kerana perbezaan politik. Tetapi di Malaysia ia pernah berlaku, kerana salah seorang daripada adik-beradik atau kaum keluarga termakan dengan hasutan dan bidaah politik yang menjurus kepada budaya taksub.

Kita mungkin tidak lupa bagaimana berlakunya perbalahan yang besar kerana politik di kampung-kampung di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu.

Seelok-eloknya perlu dilihat semula apakah maknanya perkahwinan itu sendiri jika akhirnya melafazkan cerai. Persoalannya, tidak semua perceraian berlaku atas faktor politik, tetapi intensitinya tetap ada kerana setiap malam ramai daripada penyokong mereka termakan hasutan sehingga etos 'kafir' terus melekat sebagai norma kehidupan yang wajar meskipun kategorinya turut dilibatkan kepada sesama muslim.

Sepatutnya, antara politik dan agama tidak boleh dicampuradukkan kerana agama menjadi faktor penyatuan dan perpaduan yang lebih kemas berbanding politik. Politik yang turut disinonimkan maknanya sebagai "serba kemungkinan" mudah berubah, kerana pada suatu ketika ia adalah seorang kenalan rapat, keesokannya menjadi seteru besar. Agama tidak menjarakkan seseorang itu kerana hakikat dan kiblatnya adalah sama, mencapai tahap keimanan yang tinggi dan reda Ilahi.

Perkahwinan adalah sesuatu yang amat diredai oleh Ilahi dan bercerai juga dibolehkan tetapi atas alasan yang lebih besar daripada perbezaan politik. Perkahwinan juga menjadikan perkongsian hidup dua manusia berlainan jantina mengembangkan fitrahnya di samping saling melengkapi kerana manusia merupakan makhluk sosial yang sentiasa memerlukan kasih sayang, ingin disayangi dan menyayangi.

Kelainan pandangan politik dan pendirian dalam berparti bukanlah membawa seseorang itu kepada kekafiran, kerana di sisi agama, seseorang yang dikatakan kafir atau telah menjadi kafir ialah mereka yang tidak mempercayai Allah SWT dan membelakangkan setiap suruhan-Nya. Maknanya, Islam atau kafir seseorang itu diukur berdasarkan ada atau tidak iman dalam diri seseorang, dan bukannya atas perbezaan parti politik.

Dengan kata lain politik asabiah yang ditegah Allah adalah perlampauan dalam mempertahan dan memperjuangkan kepentingan puak hingga membelakangi prinsip keadilan dan kebenaran yang menjadi asas politik Islam. Budaya politik seperti inilah yang sering kali menjerumus umat ke dalam kancah kesesatan dan persengketaan. Bahkan sokongan dan dukungan membuta tuli kepada sesebuah parti politik juga mendorong gejala perlampauan hingga tergamak membakar jambatan ukhuwah sesama umat.

Dalam perjalanan sejarah peradaban manusia, jalan kekerasan atau menolak keharmonian hidup pada umumnya berakhir dengan kegagalan, apalagi jika falsafah yang digunakan adalah kebencian dan fanatisme.

Kita seharusnya menggunakan akal batin yang sihat lagi waras untuk bersama-sama mencipta suasana kehidupan yang ceria dan harmoni, terbuka, serta lapang dada. Bukan kehidupan gelap, tertutup dan jelik.

0 comments:

share2