BANDAR TUN RAZAK - Peniaga kecewa apabila hak mereka untuk mempertahankan bandar ini sebagai bandar Melayu sepenuhnya tidak diendahkan.
Pengerusi Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Jengka, Ahmad Sabrey Idris berkata, terdapat beberapa kedai dibuka di tapak baru tersebut.
“Saya difahamkan sekitar empat kedai dijual kepada bukan Bumiputera. Namun, mereka tidak berani membuka kedai itu lagi kerana bantahan kami anjurkan ini.
“Jika tiada bantahan berterusan, saya yakin kedai dijual kepada bukan Bumiputera itu mungkin sudah dibuka sekali gus membuatkan hak milikan Melayu sepenuhnya di bandar ini diketepikan,” katanya.
Bukan itu sahaja, demi membawa masuk peniaga bukan Bumiputera ke bandar ini, peniaga tidak hanya dinafikan hak memiliki kedai baru, malah sebahagian daripada mereka agak sukar untuk memiliki lesen perniagaan.
Peniaga, Normah Yusuf, 43, berkata, dia membuka perniagaan pertukaran mata wang asing sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini permohonan untuk memiliki lesen perniagaan masih belum diberikan.
“Saya tidak faham punca pihak berwajib terlalu sukar meluluskan permohonan saya untuk memiliki lesen tersebut.
“Sudah beberapa kali saya membuat permohonan, namun sehingga kini masih belum diluluskan. Sedangkan saya dapat tahu, apabila bukan Bumiputera membuat permohonan, sekitar tiga bulan mereka sudah boleh memiliki lesen tersebut,” katanya.
Bagi pemilik butik pengantin, Hasanah Hussin, 45, dia beranggapan tidak perlu menyerahkan tapak kedai di bandar ini untuk bukan Melayu.
“Cukuplah sekadar menjadi pembekal, tidak perlu diberikan tapak untuk mereka berniaga di sini pula.
“Ini kerana kita tahu sekiranya mereka memasuki bandar satu-satunya milik Melayu sepenuhnya ini, sedikit demi sedikit mereka akan ‘membunuh’ peniaga-peniaga Melayu di sini,” katanya.
Selain Perkasa, perhimpunan aman itu turut disertai pelbagai badan bukan kerajaan seperti Warisan Anak Pahang Sejati, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan masyarakat setempat.
tak pe 1 Malaysia baru ada persaingan yang sihat.