Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 23, 2012

Tabah Menjaga Suami, Bapa Mertua


KUANTAN - Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah perumpamaan dapat mengambarkan keadaan seorang suri rumah apabila bapa mentuanya kian kronik akibat serangan angin ahmar, manakala suami kesayangannya pula disahkan menghidap kanser usus.

Namun suri rumah terbabit, S Maliga, 55, yang perlu menjaga suami dan bapa mentuanya tidak pernah mengeluh biarpun bukan calang-calang orang mampu menggalas tanggungjawab berat tersebut.

Menurutnya, bapa mentuanya, V Govinda, 81, sakit sejak dua tahun lalu menyebabkan dia hanya mampu terbaring hingga tidak mampu menguruskan segala keperluan sendiri.

“Bapa mentua juga menghidap penyakit jantung. Jadi, dia perlu penjagaan rapi,” katanya ketika menerima sumbangan kerusi roda disampaikan Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Mukim Sungai Karang/Beserah (Bakkis).

Sumbangan itu diserahkan Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh di rumahnya di Tanah Putih Baru, di sini. Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhammad Suffian Awang.

Maliga berkata, tidak lama selepas itu, dia menghadapi satu lagi dugaan apabila suaminya, G Murugiah, 57, disahkan doktor menghidap kanser usus peringkat keempat, kirakira setahun setengah lalu.

Menurutnya, pada awalnya Murugiah yang bekerja sebagai ahli geologi ketika itu mengadu sakit perut dan bisul di belakang badan.

“Walaupun penat kerana terpaksa bergilir-gilir menjaga bapa mentua dan suami, saya akur kerana sedar siapa lagi perlu menjaga mereka.

“Cuma saya berdoa dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat menjaga mereka sebaik mungkin,” katanya.

Dia berkata, selama ini segala perbelanjaan dan kos rawatan dibantu adik iparnya dan saudara-mara.

Menurutnya, dia juga sedang menunggu kelulusan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dilakukannya baru-baru ini.

0 comments:

share2