Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 23, 2017

[KUANTAN] TRAUMA LIHAT RUMAH TERBAKAR


Trauma lihat rumah terbakar


Seorang warga emas berputih mata apabila wang tunai RM6,000 yang dikumpul sejak beberapa bulan lalu hangus sekelip mata selepas rumahnya di Kampung Kolong Pahat, Sungai Lembing di sini musnah dalam kebakaran, pagi kelmarin.

Kebakaran kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan Wong Koi, 67, trauma dan tinggal sehelai sepinggang setelah semuanya terbakar.termasuk barang-barang keperluannya.

“Tiada apa-apa yang dapat diselamatkan termasuk duit RM6,000 yang saya kumpul untuk belanja.

“Saya menyesal sebab tak simpan wang itu di bank,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sebelum itu, Adun Sungai Lembing, Dato' Sohaimi Mohamed Shah bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu dengan memberi bantuan awal kepada mangsa.

Wong Koi berkata, sewaktu kejadian, dia keluar bersarapan di Pekan Sungai Lembing, sebelum didatangi jiran untuk memaklumkan rumahnya bersama dua lagi rumah jiran terbakar.

“Bila dapat tahu saya bergegas pulang, tapi bila sampai saya tak mampu buat apa-apa.

“Terus terang saya cakap sebaik saja sampai saya tergamam. Tak mampu bercakap bila lihat seluruh rumah saya bersama dua lagi jiran hangus,” katanya.


Sohaimi (dua, kiri) menyampaikan sumbangan semasa mengadakan lawatan bersama mangsa kebakaran di Kampung Kolong Pahat bersama JKM di sini, semalam.


Meskipun tidak memiliki apa-apa, Wong Koi cukup bertuah kerana ada saudara yang sudi memberi tempat perlindungan sementara.

Jelasnya, buat masa ini, biarlah dia tinggal di rumah saudaranya, sementara menunggu bantuan JKM dan bantuan bencana alam daripada kerajaan negeri.

Seorang lagi mangsa, Lock Song Kong, 69, pasrah apabila tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya terbakar dalam kejadian tersebut.

Katanya, bukan sahaja barang di dalam rumah itu musnah, tetapi motosikal jenis Yamaha 110 pemberian anak juga tidak sempat diselamatkan kerana api terlalu pantas merebak.

Dalam pada itu, Song Kong mengakui rumah yang didiami lebih 35 tahun tersebut tidak pernah digantikan dengan pendawaian elektrik yang baharu.

Sementara itu, Sohaimi meminta penduduk di kawasan tersebut menukar wayar elektrik yang sudah melebihi 15 tahun.

Jelasnya, itu sebagai satu langkah untuk mengelak berlakunya kebakaran disebabkan pendawaian elektrik.

“Di Sungai Lembing kebanyakan rumah binaannya lebih 90 peratus diperbuat dari kayu. Justeru risiko kerosakan wayar itu ada yang kemungkinan digigit oleh tikus, anai-anai atau sebagainya.

“Jadi kita kena peka tentang perkara ini bagi elak musibah,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan kebakaran tersebut berjaya dikawal sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Sukarela Sungai Lembing kira-kira setengah jam, pada hari kejadian.

Menurutnya, api merebak dengan pantas kerana keseluruhan rumah itu kayu sekali gus menyebabkan mangsa terpaksa tinggal sehelai sepinggang.

“Kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Unit Forensik Kebakaran sudah ke lokasi kejadian hari ini (semalam) untuk buat siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.


0 comments:

share2