Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 23, 2016

[TEMERLOH] WANITA DISARAN LEBAR SAYAP PERNIAGAAN KE PERINGKAT ANTARABANGSA




Golongan wanita khususnya ibu tunggal disaran melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa, dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kerajaan dan pihak swasta menyediakan pelbagai bantuan termasuk mengadakan program untuk usahawan wanita ke peringkat antarabangsa.

"Apa yang penting adalah semangat untuk maju ke depan. Jangan takut melangkah disebabkan takut akan kegagalan. Gagal adalah permulaan," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Dari Wanita Untuk Wanita 2016 Pahang di Dataran Temerloh, di sini Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Dato' Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Dato' Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Beliau turut menyentuh peluang yang terdapat di Internet yang memudahkan urusan perniagaan termasuk portal e-dagang, WanitaMall.my dibangunkan oleh UMP untuk kegunaan usahawan wanita Pahang mempromosikan produk mereka.

Beliau seterusnya memuji inisiatif kerajaan negeri Pahang yang mengadakan festival itu selama empat hari sebagai platform kepada golongan wanita mencari pengalaman dan membuka lebih banyak peluang perniagaan.

"Saya percaya penganjuran festival seperti ini yang merupakan kali pertama diadakan boleh diperluaskan ke seluruh negara. Harap negeri lain dapat mengikut langkah ini," katanya.

Sementara itu, Shahaniza berkata seramai 120 usahawan wanita mengambil bahagian dalam festival itu yang mencatatkan kehadiran seramai 200,000 pengunjung.

Mengenai portal WanitaMall.my yang dilancarkan, Dato' Shahaniza berkata portal itu dibangunkan bersama Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian UMP membolehkan usahawan menghasilkan portal e-dagang dengan hanya menjawab soalan mudah yang disediakan.

"Sekiranya berpuas hati dengan portal yang dihasilkan, mereka dapat memuat naik portal terus ke pelayan web yang disediakan. Setiap portal disertakan dengan pangkalan data, modul pembayaran, modul keselamatan yang sangat mudah digunakan walaupun tidak mempunyai latar belakang teknologi maklumat," katanya.

Katanya portal itu bukan hanya memberi peluang kepada mereka yang menawarkan barangan, tetapi juga sesuai untuk usahawan yang menawarkan perniagaan perkhidmatan seperti dobi.

"Setakat ini, 150 usahawan telah mendaftar dengan portal ini dan antara produk yang boleh didapati adalah produk yang sinonim dengan negeri Pahang seperti sambal hitam," katanya.


0 comments:

share2