Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 23, 2017

TANGAN GHAIB TUTUP KERUGIAN BNM




Putrajaya - Hari pertama prosiding yang dijalankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing mendapati ada `Tangan Ghaib’ yang cuba menutup kerugian berkenaan.

Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, fakta ini diperolehi dalam prosiding yang berlangsung semalam, mendapati berlaku pengolahan akaun Bank Negara Malaysia (BNM), bertujuan untuk menyembunyikan kerugian tersebut.

Tambah beliau lagi, tiada sebarang tindakan diambil terhadap individu terbabit dan ini menimbulkan rasa tidak kepuasan hati banyak pihak. Oleh itu, kebenaran perlu didedahkan dan ia tidak boleh disembunyikan di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Siasatan yang dijalankan oleh RCI mendapati kerugian BNM pada tahun 1992 hingga 1994 berjumlah RM31.5 bilion.

Panel prosiding turut disertai empat ahli suruhanjaya yang lain iaitu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan.

Setiausaha Bahagian Pelabu­ran Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail merupakan Setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

Pada 21 Jun lalu, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian AS$$10 bilion dalam tukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an.

Keputusan itu dibuat susulan laporan Pasukan Petugas Khas (PPK), yang menyerahkan laporan akhirnya kepada Kabinet selepas melakukan siasatan sejak tiga bulan lalu.

Kerugian membabitkan AS$10 bilion sewaktu, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri, dan baru-baru ini dalam satu temubual, beliau telah meletakkan kesalahan berhubung kerugian BNM, terhadap bekas Gabenor Tan Sri Jaafar Hussein dan bekas penolongnya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Jika ini benar kenapa Dr Mahathir memfailkan tindakan perundangan untuk menyingkirkan pengerusi RCI, dan salah seorang anggotanya Tan Sri Saw Choo Boon sebagai anggota suruhanjaya berkenaan. Bagaimanapun permohonan beliau telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Jika kita lihat sejarah sebelum ini, Tun Daim Zainuddin pernah menjadi Menteri Kewangan ketika Dr Mahathir selaku Perdana Menteri, dan kerugian yang dialami oleh BNM adalah tempoh yang sama ketika kedua-dua mereka menjawat jawatan tertinggi dalam Kabinet.

Dalam prosiding semalam juga, bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid memberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meminta supaya BNM tidak mendedahkan perkara tersebut kerana bimbang terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Abdul Murad mendakwa BNM berkemungkinan menyembunyikan maklumat mengenai kerugian itu dengan memindahkan caj kepada akaun rizab yang lain. Ini membuktikan bahawa terdapat niat agar kerugian sebenar yang dialami tidak diketahui oleh sesiapa yang melihat akaun BNM.

Kerugian mata wang asing yang dialami oleh BNM ketika itu adalah satu skandal terbesar dalam sejarah perbankan dunia.

Pada tahun 1991, Dr Mahathir telah melantik Anwar sebagai Menteri Kewangan bagi menggantikan Daim, dipercayai bertujuan agar kedua-dua mereka dapat melindungi diri isu berkenaan.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang pernah membangkitkan perkara berkenan di Parlimen, sebaliknya Perdana Menteri keempat itu bertindak mendiamkan diri, dan membuatkan Anwar menjawab isu dengan mendakwa BNM kehilangan duit dalam dalam perjudian wang di pasaran forex adalah dusta.

Ibarat `Bangkai Cuba Ditutup Baunya Tetap Ada’, akhirnya pada tahun berikutnya Anwar terpaksa mengaku kepada Parlimen bahawa BNM telah kehilangan wang dalam perjudian wang di pasaran forex, tetapi jumlahnya kecil berbanding sebenar.

Dr Mahathir tetap diam diri walaupun berbohong kepada Kabinet dan Parlimen mengenai sifat dan jumlah kerugian. Sebaliknya Anwar memberitahu Kabinet bahawa ia adalah ‘perbelanjaan ditangguhkan’ dan kerugian belum direalisasikan dan angka itu hanya RM5.7 bilion.

Mahathir bukan sahaja berpura-pura tidak terlibat sebaliknya berpura-pura dia tidak pernah dimaklumkan mengenai apa yang sedang berlaku dan tidak mengetahuinya.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, telah mendedahkan siapa dalang berada di belakang Jaafar bekas Gabenor itu, dalam temubual dengan Malaysiakini pada 19 Julai 2006.

Beliau menyifatkan sebagai pengalaman paling teruk dalam kerajaan, Anwar mendakwa Dr Mahathir bersengkol dengan Daim serta Nor Mohamed yang menyebabkan kerugian dialami oleh BNM.

Jika dilihat sudut yang berbeza kerugian BNM ini berpunca daripada kegagalan individu yang berjawatan tinggi seperti Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam mengurus tadbir.

Bagaimanapun diyakini dengan adanya RCI ini segala yang terkubur lama dapat dirungkai, dan mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan sewajarnya.


0 comments:

share2