Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 26, 2016

RAJA MUDA RAI ANAK YATIM


Raja Muda rai anak yatim


Subang Jaya – Bersempena sambutan Deepavali, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kelmarin berkenan meluangkan masa selama hampir lima jam meraikan penghuni Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Sai Pandian, Setia Alam.

Program yang turut mendapat kerjasama Selangor Youth Community (SAY) dan Sunway Group itu dimeriahkan lagi dengan pengisian lawatan ke beberapa tempat menarik dalam Taman Tema Sunway Lagoon.

Tengku Amir yang juga Penaung Diraja SAY berkata, beliau gembira dapat bersama kanak-kanak tersebut melakukan pelbagai aktiviti diakhiri dengan majlis makan malam.

Menurutnya, program bermula dari jam 12.30 tengah hari itu memberinya peluang beramah mesra selain turut bersama-sama penghuni serta komuniti India memasang rak buku untuk digunakan anak-anak di rumah berkenaan.

“SAY ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti tanpa mengira kaum dan agama...kanak-kanak nampak gembira bila kita bina foyer dan wujudkan satu ruang baru untuk mereka bermain dan mengulang kaji pelajaran.

“Mungkin lepas ni kita akan buat aktiviti untuk sambutan program Tahun Baharu Cina pula,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan SAY, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, Program Meraikan Anak-Anak Yatim Masyarakat India itu yang pertama selepas Tengku Amir ditabal menjadi Raja Muda.

Katanya, SAY memberi sumbangan dalam bentuk jangka masa panjang dan pendek untuk manfaat 30 penghuni rumah berkenaan.

“Untuk program jangka masa panjang kita bina foyer, atap dan turut memasang kipas serta rak buku baru untuk kegunaan anak-anak yatim ini. Sebelum ini mereka kekurangan tempat berbumbung untuk melakukan aktiviti riadah.

“Bagi program jangka pendek pula, anak-anak yang hidup serba kekurangan dibawa bersiar-siar ke Sunway Lagoon,” katanya.

Johan berkata, sebelum ini pihaknya ada membuat tinjauan ke beberapa rumah kebajikan dan mendapati pusat jagaan tersebut memerlukan banyak bantuan.

“Kita pilih rumah ini dan atas permintaan warganya kita bina foyer untuk kemudahan anak-anak membuat aktiviti mereka.

“Menerusi program ini, Tengku Amir dapat menyelami dan diberi pendedahan masalah rakyat seterusnya merapati mereka yang memerlukan,” katanya kepada Sinar Harian.


0 comments:

share2