Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 26, 2016

700 IKLAN AH LONG DITURUNKAN


700 iklan ah long diturunkan


Kuala Berang - Sebanyak 700 keping iklan ah long berjaya diturunkan polis menerusi operasi khas banteras aktiviti pinjaman wang haram sekitar Bandar Kuala Berang dan Ajil, kelmarin.

Operasi bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari yang turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) itu diketuai Inspektor Mohd Shafari Mohd Rakbi selaku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, operasi berkenaan menumpukan iklan peminjam wang tanpa lesen yang dipasang khususnya pada tiang lampu di sekitar Bandar Kuala Berang dan Ajil.

“Jumlah keseluruhan iklan berjaya diturunkan ialah 700 keping, 250 keping di sekitar Ajil dan 450 keping di Kuala Berang. Operasi ini sebagai satu usaha berterusan polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kekang aktiviti pinjaman wang haram ini.

“Kita juga mengumpul nombor-nombor telefon tertera pada iklan yang diturunkan itu bagi diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan seperti pembatalan perkhidmatan nombor terbabit.

“Berdasarkan rekod pada tahun ini, kita menerima tiga laporan bagi kes ah long secara rasmi dan kita percaya ada dalam kalangan orang awam tidak tampil membuat laporan polis berhubung perkara ini meskipun telah terpedaya,” katanya.

Tambah Mohd Adli, pihak polis akan giat melakukan operasi menurunkan iklan pinjaman wang haram di daerah ini bagi mengekang orang ramai terus menjadi mangsa dan masyarakat juga diharapkan tidak terlalu mudah terpedaya dengan tawaran iklan tersebut.

Katanya, selain usaha berterusan bagi membanteras aktiviti itu, kesedaran dalam diri orang ramai juga antara faktor penting yang dapat memastikan kegiatan berkenaan dikekang habis-habisan.


0 comments:

share2