Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 26, 2016

‘HAMBA ALLAH' TUNAI HASRAT PENGHUNI


‘Hamba ALLAH’ tunai hasrat penghuni


Bagan Serai - Hasrat pengurusan Kediaman Anak Yatim dan Miskin Cahaya Ain, di sini, memiliki pengangkutan sendiri termakbul apabila mendapat sumbangan daripada seorang ahli perniagaan yang enggan dikenali.

Pengerusinya, Siti Nur Ain Farhana Johana berkata, wanita berusia 20-an dan menggelarkan dirinya 'Hamba ALLAH' terbaca mengenai kisah pengurusan kediaman itu yang memerlukan kemudahan pengangkutan melalui laman sosial.

"Menerusi perbincangan, wanita itu bersetuju menunaikan hajat ini dan mengizinkan kami memilih kenderaan sesuai untuk kegunaan kanak-kanak di sini.

"Individu tersebut melahirkan simpati serta berhajat membuka sebuah rumah perlindungan kediaman anak yatim dan miskin, namun kekangan kerjaya mengekang hasratnya ditunaikan ketika ini.

"Ahli perniagaan itu juga memaklumkan sumbangan itu bagi menunaikan hasrat wakaf bagi ahli keluarganya yang sudah tiada," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihaknya bersyukur apabila penantian hampir dua tahun itu akhirnya berbaloi, sekali gus dapat mengatasi masalah pengurusan kanak-kanak di bawah seliaannya ke sekolah.

"Sebelum ini, kenderaan persendirian digunakan tidak mampu menampung keperluan 14 penghuni di sini, dan kami paksa berulang alik lebih tiga kali untuk menghantar mereka ke sekolah dan sebagainya.

"Kami bersyukur dengan pemberian ini dan mendoakan kesejahteraan individu terbabit. Semoga Allah membalas budi baiknya nanti," katanya.

Sementara itu, riak wajah kegembiraan ternyata terpancar pada setiap 14 penghuni kediaman yang gembira menerima kemudahan kenderaan pengangkutan baharu.


0 comments:

share2