Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 5, 2016

ARCA PUNCAK PURNAMA DIROBOH, STRUKTUR TIDAK SELAMAT


Arca Puncak Purnama diroboh, struktur tidak selamat


Kuala Lumpur - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil keputusan merobohkan arca Puncak Purnama (Lunar Peaks) di atas beberapa faktor.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, DBKL mendapati struktur arca tersebut tidak lagi selamat kepada keselamatan awam kerana terlalu usang, menjadi mangsa vandalisme dan faktor keselamatan kawasan daripada gangguan penagih dadah atau gelandangan.

Menurutnya, sistem pengairan arca ini juga tidak disenggara sehingga menjadi tempat pembiakan aedes.

"Tapak ini juga sebahagian daripada Projek River Of Life yang sedang dalam peringkat pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan.

Arca Puncak Purnama dihasilkan oleh karya seniman terkemuka tanah air, Datuk Syed Ahmad Jamal di lokasi Bulatan Jalan Sulaiman, Kuala Lumpur berhampiran Menara Takaful.

Arca ini adalah struktur arca berciri air yang di bina pada 1986 di bawah skim tajaan/anak angkat UMBC.

Pada tahun tersebut, Ibu pejabat UMBC terletak bersebelahan dengan Taman Mini Puncak Purnama.

Tengku Adnan berkata, arca tersebut terbiar tanpa jagaan dan penyenggaraan selepas itu.

"Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab, DBKL mengambil inisiatif menjaga kebersihan dan penyenggaraan arca tersebut.

"DBKL telah menaik taraf arca tersebut pada 1998 menggunakan dana DBKL namun begitu, pereka asal arca telah membawa perkara ini ke mahkamah.

"Lanjutan itu, mahkamah membuat keputusan bahawa DBKL perlu membayar pampasan kepada pereka asal dan selepas itu arca ini telah menjadi milikan penuh DBKL," katanya.

Menurutnya, mahkamah juga memutuskan adalah tidak menjadi kesalahan untuk pihak DBKL merobohkan struktur tersebut dan mana-mana pihak juga tidak boleh mengarahkan DBKL menyenggara struktur tersebut dengan menggunakan dana awam.


0 comments:

share2