Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 5, 2016

TAKDIR DUA BERADIK KEMBAR MAUT DALAM KEMALANGAN


Takdir dua beradik kembar maut dalam kemalangan


Gua Musang - Dua beradik kembar yang berpisah selepas berkahwin dan bekerja di tempat berasingan, akhirnya menemui ajal bersama dalam tragedi kemalangan yang turut mengorbankan lima anggota keluarga yang lain.

Adik kepada pasangan kembar berkenaan, Anis Arifah Ahmad Latfi, 25, berkata, kedua-dua kakaknya itu, Munira, 29, dan Mursyida, 29, sememangnya rapat dan berpisah apabila masing-masing berkahwin beberapa tahun lepas.

"Walaupun mereka berdua tinggal berjauhan iaitu Mursyida di Johor manakala Munira di Kuala Lumpur, mereka kerap juga bertemu termasuk pada musim perayaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Gua Musang di sini, semalam.

Munirah seorang pensyarah sebuah kolej swasta di Selangor manakala Mursyida seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 3, Johor.

Dalam kejadian 1.20 pagi di Km 11 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, tujuh sekeluarga maut dan seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.

Mereka yang terbunuh ialah Munira Ahmad Latfi, 29, suaminya, Norazmi Mahat, 37, anak mereka Rifqi satu bulan dan Raidatul Syazwina, 4 tahun.

Turut maut adalah kembar kepada Munira iaitu Mursyida, 29, suaminya, Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29, dan anak mereka Nurhana Jannati, 5.

Anis Arifah berkata Mursyida singgah di rumah Munira di Kuala Lumpur untuk menumpang kereta untuk pulang bersama ke Kampung Kedai Lalat di Kota Baharu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ibu bapa mereka.

Beliau berkata kedua-dua kakak kembarnya itu berhasrat untuk singgah di rumahnya di Taman Kuing Indah, Machang, untuk bersahur.

"Saya tunggu mereka sampai untuk bersahur, tetapi sebaliknya menerima panggilan telefon yang mendukacitakan," katanya.

Ibu kepada dua beradik kembar itu, Radziah Abu Bakar, 57, berkata memang anak kembarnya itu sudah memberitahu lebih awal mereka akan bertolak malam tadi untuk pulang bersama dengan menaiki sebuah kereta ke kampung.

Sementara itu, di KOTA BHARU, bapa pasangan kembar itu, Ahmad Latfi Mat@ Mohammad,62, berkata kesemua jenazah tujuh sekeluarga itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, hari ini.

"Saya reda dengan kejadian ini kerana ia dugaan kepada kami di bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Adilfitri tahun ini," katanya.


0 comments:

share2