Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 29, 2016

‘RUMAH INI SAHAJA DUNIA SAYA'


‘Rumah ini sahaja dunia saya’


Kampung Jak - "Walaupun jauh di sudut hati nak rasa kemeriahan Aidilfitri, saya sekadar mengharap sebab sejak empat tahun lalu hanya rumah ini saja dunia saya. Saya hanya mampu mengengsot,” luah Abdul Basir Mamat, 34.

Abdul Basir berkata, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2002 di Pasir Gudang, dia kehilangan sebahagian tempurung kepala sebelah kanan sekali gus mengubah kehidupannya.

“Walaupun masih boleh jalan lepas kemalangan itu, tapi saya tak dapat kerja di pelabuhan atau buat kerja-kerja lain, banyak masa habis di rumah saja. Tapi lepas terjatuh di perkarangan rumah sekitar 2012, saya terus tak boleh berjalan.

“Raya atau tak semua sama, tak ada sediakan baju raya sebab tak berbaloi. Sedih memang sedih tapi ini ujian ALLAH," katanya yang kini tinggal bersama ibu bapanya, Mamat Deraman, 74 dan Zainun Mamat, 66.

Katanya lagi, dia bukan tidak mahu berkunjung ke rumah saudara mara dan adik beradik namun enggan menyusahkan orang lain.

"Lagipun saya hanya mampu mengengsot, susah nak bergerak, penglihatan pula makin kabur,” katanya sewaktu menerima kunjungan Adun Ajil, Ghazali Taib dan isteri, Bibi Nazima Mohamed Akmal sempena Program Ziarah Kasih, kelmarin.

Tambah anak keempat dari sembilan beradik ini, kesedihannya sedikit terubat tatkala melihat ahli keluarga berhari raya bersama.

“Waktu raya, semua adik beradik balik dan berkumpul ramai-ramai di rumah ini. Terubat juga kesedihan saya. Biarpun kemungkinan untuk kembali berjalan tipis tapi saya akan terus berharap dan berdoa,” katanya.

Dia bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan dan duit itu digunakan untuk perbelanjaan memandangkan tiada sumber rezeki.

“Sejak kemalangan itu, saya tak dapat buat kerja berat, sekarang ini pula penglihatan makin kabur, tambah sukar saya buat kerja,” katanya.


0 comments:

share2