Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 29, 2016

[KUANTAN] GAGAL LETAK TANDA HARGA, PELBAGAI BARANGAN DIRAMPAS


Gagal letak tanda harga, pelbagai barangan dirampas


Kegagalan peniaga di Bazar Hari Raya di pekarangan Stadium Darul Makmur mempamerkan tanda harga pada barangan dijual akhirnya membawa padah apabila kesemua barang bernilai RM30,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang.

Dalam operasi malam semalam, KPDNKK merampas pelbagai barangan termasuk baju Melayu, jubah dan baju kurung.

Pengarah KPDNKK Pahang, Sharuddin Jali berkata, rampasan dibuat selepas peniaga gagal meletakkan tanda harga dan kesemua barangan akan dibawa pulang ke ibu pejabat KPNDKK Pahang untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 12 peniaga turut dikenakan tindakan kompaun kerana tidak meletakkan tanda harga dalam Ops Pra Raya berkenaan.

"Kesemua peniaga berkenaan dikenakan kompaun di Mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kompaun yang dikenakan berjumlah RM2,750 dan kesemuanya kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan, malam semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid.

Sharuddin berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memantau peniaga yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, pengguna juga perlu bijak untuk membeli barangan di premis yang tidak menaikkan harga. Kita sebagai pengguna perlu tahu hak kita.

Dalam pada itu beliau menyeru kepada pengguna supaya membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya terdapat mana-mana peniaga yang mengenakan harga melampau.


0 comments:

share2