Sheikh Ahmed Yassin atau nama sebenarnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin adalah nama yang cukup besar dalam perjuangan jihad di jalan Allah. Terutama mempertahankan Palestin - bumi suci ketiga umat Islam. Beliau umpama pahlawan Islam silam.
Moga nama besar itu menikmati apa yang dijanjikan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)
Sheikh Ahmad Yassin syahid pada 22 Mac 2004, tarikh yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa juga terutama rakyat Palestin.
Beliau adalah mangsa pembunuhan paling keji apabila ditembak dengan tiga bedilan roket dari helikopter Apache tentera Israel.
Peristiwa berdarah itu berlaku pada subuh hening sejurus Syeikh Ahmed Yassin keluar dari masjid setelah menunaikan solat Subuh.
Tindakan Israel itu memang cukup kejam kerana pemimpin Palestin itu hanya seorang tua yang lumpuh dan lemah. Pergerakannya hanya menggunakan kerusi roda selain mengalami pelbagai lagi keuzuran. Namun, pada Israel beliau dilihat sebagai ancaman kepada rejim zionis itu dan perlu dihapuskan dengan apa cara sekalipun.
Mengenang kembali peristiwa pembunuhan terkutuk itu, pasti ada yang mengalir air mata. Bagaimanapun, siapakah yang lebih mengalirkan air matanya setiap kali nama tokoh pejuang suci Islam ini disebut-sebut?
Sudah tentu mereka yang menyimpan kenangan sama-sama berjuang dengan Sheikh Ahmed Yassin.
Salah seorang daripada mereka ialah Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Perundangan Palestin (PLC) - bertindak sebagai Pihak Berkuasa Palestin yang mempunyai 132 ahli yang dipilih dari Tebing Barat dan Gaza - Dr. Mohammed Shihab, 55.
Ketika ditemui Mega dalam kunjungannya ke Malaysia, baru-baru ini, Kelihatan wajah yang sayu apabila Mohammed diajukan mengenai hubungan dengan Sheikh Ahmed Yassin - pemimpin yang pengaruhnya sangat kuat terhadap seluruh umat Islam sehingga kini.
Dr. Mohammed adalah antara yang paling awal direkrut dalam satu gerakan jihad pertama, iaitu Hamas yang ditubuhkan oleh Sheikh Ahmed Yassin di Palestin untuk menentang rejim Israel.
"Saya dan allahyarham Sheikh (Ahmed Yassin) sama-sama berjuang. Cuma sudah rezeki dan takdir Allah, almarhum lebih dahulu masuk ke syurga Allah," ujarnya.
Ini membuktikan Mohammed bukan calang-calang tokoh politik. Beliau sungguh bertuah kerana mempunyai kenangan yang hidup dan berjuang bersama-sama Sheikh Ahmed Yassin.
Dr. Mohammed berada di ibu negara sempena Festival Filem Palestin Kuala Lumpur (KLPFF) 2012 selama tiga hari yang berakhir pada 6 Februari lalu.
Festival itu telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mohammed yang berasal dari Bandar Gaza, Palestin ditemani dua lagi rakyat Gaza, iaitu Dr. Mahmoud Mohamad Alhirthani dan Dr. Fayik An Naouk yang kedua-duanya merupakan pensyarah di Universiti Al Aqsa, Gaza.
Dr. Mahmoud juga adalah Naib Pengerusi Persatuan Islam Jabalia Palestin bertindak sebagai penterjemah sepanjang mereka berada di Malaysia.
Menurutnya, Allah sahaja yang tahu azabnya tekanan perasaan yang mereka alami dalam hidup bagai di neraka dunia akibat 1,001 perbuatan kejam rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
"Tetapi semua tekanan dan air mata yang berlinang dengan sendirinya akan terhapus apabila kita berada dekat dengan almarhum Sheikh.
"Duduk bersama beliau dan mendengar nasihat serta pujukan beliau bagaikan seorang bapa yang memujuk anak-anaknya yang dalam kesedihan itu," katanya.
Begitulah pentingnya peranan seorang pemimpin, apatah lagi seorang ulama, guru, seorang ayah seperti Sheikh Ahmed Yassin.
Sekalipun hanya berada dekat dengannya mampu membuatkan orang di sekeliling rasa tenteram dan selamat.
Namun mengimbas kembali sejarah perjuangan para pejuang muda Hamas itu, Mohammed berkata, sekembalinya dari Mesir setelah tamat pengajian dalam bidang farmasi, beliau terus menganggotai Gerakan Islam (Hamas).
"Bukan sahaja saya, malah ramai lagi yang pulang belajar dari Mesir, England dan lain-lain negara di dunia setelah bergelar doktor perubatan, pensyarah, peguam dan lain-lain jawatan terus menganggotai Hamas dengan Sheikh Ahmed Yassin sebagai mentor kami.
"Tugas utama kami ketika itu mengumpul senjata sebanyak mungkin bagi memperkuatkan lagi gerakan menentang Israel," katanya.
Walaupun serba kekurangan termasuk kesukaran mendapat bekalan senjata api, ia tidak melemahkan semangat juang para anggota Hamas.
Berbekalkan senjata yang ada, mereka giat berlatih dan mempelajari taktik-taktik peperangan melalui bekas anggota tentera Palestin yang pernah menganggotai gerakan pembebasan Palestin sebelum ini.
Sehinggalah ketika berlakunya detik dan tarikh hitam yang meragut nyawa pemimpin kesayangan, Sheikh Ahmed Yassin, Dr. Mohammed tidak berada di tempat kejadian.
Ketika itu, beliau berada di rumah. Berita itu diterima dengan hati yang remuk dan kesedihan yang tidak boleh diungkap melalui kata-kata.
Pemergian Allahyarham amat dirasai kerana beliau sangat akrab malah hubungan silaturrahim itu terjalin sebelum terbentuknya Hamas.
Sehinggakan Sheikh Ahmad Yassin ditahan dan dihukum penjara selama 13 tahun oleh Israel, Dr. Mohammed adalah satu-satunya individu yang mendapat kepercayaan sepasukan peguam untuk bertemu dan berbincang dengan Sheikh Ahmad Yassin di penjara.
"Para peguam meminta saya memujuk Sheikh Ahmed Yassin supaya bersetuju dengan usaha-usaha untuk membebaskan beliau daripada meringkuk dalam penjara.
"Beliau sudah tua dan dalam keadaan yang sangat lemah dan uzur. Maka adalah sangat zalim untuk orang yang dalam keadaan seperti ini dipenjara lalu pihak peguam merancang menjadikan keuzuran Sheikh Ahmed Yassin untuk layak menjalani rawatan dan berubat di luar negara.
"Mereka hendak memindahkan Sheikh ke mana-mana negara luar agar beliau tidak perlu ditahan dan dipenjara," katanya.
Lalu Dr. Mohammed menemui Sheikh Ahmed Yassin dipenjara yang akhirnya menyaksikan beliau keluar dari penjara itu dengan muka yang kecewa dan hampa.
"Sheikh menolak bulat-bulat cadangan pihak peguam itu. Beliau enggan keluar dari penjara walau apa pun yang bakal terjadi dan saya sememangnya gagal walaupun puas memujuknya.
"Saya katakan beliau masih boleh memimpin para pengikutnya walaupun berada di luar negara sebagaimana kebanyakan para pemimpin dan pejuang Palestin sebelum ini," katanya.
Sheikh Ahmed Yassin dengan tegas memberitahu beliau tidak akan sesekali meninggalkan Palestin, apatah lagi meninggalkan orang yang dipimpinnya.
"Bukan namanya seorang pemimpin yang sanggup meninggalkan rakyatnya ketika dirinya sangat diperlukan dan walaupun dipenjara namun saya tetap ingin berada bersama-sama dengan kamu semua di sini, di tanah air kita ini!
"Tidak akan saya tinggalkan kamu sekalipun kita sudah terpisah jasad dan nyawa," katanya.
Demikianlah antara kata-kata yang tegas diungkapkan oleh Sheikh Ahmed Yassin kepada Mohammed.
0 comments:
Post a Comment