Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 26, 2017

[TIOMAN] ANCAMAN PUKAT HANTU


Ancaman pukat hantu


Sekumpulan aktivis yang menjalankan pemantauan ke atas terumbu karang di Pulau Soyak, di sini, menemui pukat hantu yang memerangkap pelbagai jenis ikan.

Sebagai sebuah kawasan perlindungan taman laut, masalah pukat hanyut tidak bertuan yang kebiasaan sangkut pada terumbu karang boleh mendatangkan kerosakan kepada pelbagai hidupan laut.

Penemuan pada Selasa lalu itu bukan sekadar pukat sebaliknya pelbagai jenis ikan terumbu yang sangkut padanya termasuk dua ekor bamboo shark.

Bagaimanapun, seekor daripada spesies jerung itu bersama seekor ikan buntal sahaja yang hidup dan berjaya dilepaskan manakala sekitar 25 ekor lagi sudah mati.

Kordinator Reef Check Malaysia (RCM), Alvin Chelliah berkata, pukat hantu yang memerangkap pelbagai jenis ikan itu dijumpai secara kebetulan ketika beliau bersama empat lagi rakannya hampir selesai membuat pemantauan.

Menurutnya, dia memang sudah biasa bertindak apabila menemukan pukat hantu ketika menyelam, mereka terus mendekatinya dengan tujuan untuk mengambilnya sebelum dilupuskan.

Katanya, kumpulan yang terdiri daripada dua aktivis RCM, dua dari Juara Turtle Project dan seorang dari kedai selam mengukur panjang pukat itu serta memeriksa sama ada ia tersangkut teruk pada terumbu karang atau tidak.

“Kami dapati panjang pukat jenis tangsi itu kira-kira 200 meter dan tidak banyak yang sangkut pada terumbu karang, sebelum naikkan... kami lepaskan terlebih dulu ikan yang tersangkut.

“Masa tu ada kira-kira 25 ekor ikan jenis terumbu termasuk seekor bamboo shark telah mati, bagaimanapun kami dapati ada seekor lagi bamboo shark dan seekor ikan buntal masih hidup, kami lepaskan keduanya lalu ia terus berenang pergi,” katanya, semalam.

Kerja memotong pukat hantu berjaya membebaskan seekor jerung yang terperangkap


Bukan perkara luar biasa

Alvin berkata, penemuan pukat hantu itu bukanlah perkara luar biasa kerana dua minggu lalu beliau bersama kumpulannya turut menemui pukat itu di Pulau Chebeh, di sini.

Menurutnya, turut didapati beberapa ekor ikan yang telah mati terperangkap pada pukat itu termasuk seekor penyu yang bersaiz tidak besar.

Jelas Alvin, tahun ini agak banyak pukat hantu ditemui dan menganggarkan setakat September, sebanyak 15 pukat kesemuanya yang ditemui secara kebetulan atau ketika pemantauan.

Beliau berkata, masalah pukat hantu itu ialah apabila ia masih ada pelampung menyebabkan ia boleh dihanyutkan hingga menghampiri kawasan perairan pulau sebelum tersangkut pada terumbu karang.

“Kita tak tahu ia dibuang di mana, bila pukat-pukat hantu ini masih ada pelampung ia akan terus hanyut, mungkin kita lihat ia tak timbul di permukaan tetapi tetap hanyut.

“Namun ada juga pukat hantu yang ditemui masih dalam keadaan elok, bagi yang dah rosak itu kemungkinan ia sengaja dibuang ke dalam laut oleh nelayan tak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Alvin turut mengakui kerja-kerja pemuliharaan terumbu karang dan menaikkan pukat hantu yang ditemui banyak dibantu oleh ahli Persatuan Penyelam Tioman, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang dan pengusaha-pengusaha kedai selam skuba di pulau peranginan itu.


0 comments:

share2