Pertemuan yang dirancang sejak enam bulan lalu berjaya mengumpulkan 14 bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut tahun 1974 sehingga 1979.
Penyelaras program, Norizan Rani berkata, pertemuan semula selepas terpisah hampir 39 tahun lalu banyak menggamit kembali kenangan ketika berada di bangku sekolah rendah.
Menurutnya, pada mulanya mereka dikumpulkan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum merangka untuk membuat pertemuan itu, kelmarin.
“Cuti panjang ni buka ruang untuk kami anjurkan majlis ini.
“Setelah hampir 39 tahun tak berjumpa, pertemuan kali ini buatkan kami imbau kembali kenangan masa kecil dulu. Matlamatnya macam orang lain juga, selagi tali silaturahim dapat kita eratkan, kita buat...lagipun dunia ni sementara saja, kita sambung persaudaraan selagi masih ada nyawa,” katanya.
Norizan berkata, banyak perkara yang dikongsi tentang masa lampau selain berkongsi dengan rakan-rakan tentang kehidupan masing-masing kini.
Antara pengisian lain yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah itu termasuklah majlis tahlil, pertukaran cenderahati dan acara memotong kek bersempena ke semua ahli menginjak usia 50 tahun.
Dalam masa yang sama, mereka turut mengadakan sambutan hari lahir salah seorang bekas pelajar yang datang ke program itu.
“Selain itu, ahli keluarga masing-masing juga turut serta dalam program ini. Jadi kami dapatlah berkenalan dengan suami, isteri atau anak kawan masing-masing,” katanya.
Katanya, dia berharap agar hubungan yang terjalin tidak akan terputus selain mahu program seumpama itu dianjurkan lagi pada masa akan datang.
0 comments:
Post a Comment