Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 26, 2017

[RAUB] SEORANG LEMAS DI LATA BEREMBUN


 Seorang lemas di Lata Berembun


Kegembiraan 10 rakan dari Ipoh, Perak beriadah di Lata Berembun, Sg. Ruan Raub di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya telah menerima laporan jam 7.20 petang kelmarin mengatakan Cheong Kean Hao, 19 salah seorang dari mereka telah hilang jam 6.30 petang semasa mandi di tempat tersebut.

Menurutnya, seramai 15 anggota polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah dimulakan pada jam lapan malam.

"Kami juga turut dibantu oleh 13 anggota dari Balai Bomba dan penyelamat Raub, lima anggota dari Angkatan Pertahanan Awam dan kita turut dibantu oleh 17 orang awam bagi melancarkan operasi ini.

"Namun, pada hari pertama (kelmarin) operasi SAR tidak menjumpai sebarang jejak mangsa yang lemas sehingga pihak kami terpaksa menghentikan operasi pada jam 23.59 malam " katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.

Beliau berkata operasi SAR diteruskan semula pada jam 8 pagi semalam dan telah mendapat bantuan lima anggota dari Team Scuba Bomba Temerloh.

"Alhamdulillahlah, operasi SAR akhirnya menjumpai mayat mangsa pada jam 11 pagi semalam dan mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Raub untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Khairul Anuar Yaakob berkata pihaknya telah menerima laporan pada jam 7.15 petang kelmarin dan sebanyak tujuh jentera diperlukan dalam operasi ini.

Beliau turut menasihati agar para pengunjung yang datang ke Lata Berembun terutamanya pengunjung luar haruslah menjaga keselamatan dan berhati-hati ketika mandi di situ.

“Patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan ketika berada di kawasan itu.. mereka perlu berhati-hati di kawasan itu dan tidak perlu ambil risiko untuk mandi di kawasan yang berpotensi untuk lemas," katanya.


0 comments:

share2