Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 23, 2017

[ROMPIN] PEGANG TEGUH NILAI INTEGRITI


Pegang teguh nilai integriti


Pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Rompin diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.

Ia berikutan isu semasa berkaitan jabatan itu yang mendapat perhatian dan diperkatakan oleh masyarakat pada masa ini.

Pegawai Perhutanan Daerah, Nazri Husin berkata, umum menyedari betapa besar dan berat peranan atau tanggungjawab yang dipikul warga pejabat perhutanan daerah dalam usaha mencapai visi serta misi jabatan.

Menurutnya, ia bertujuan untuk mencapai matlamat sebuah agensi terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara berkekalan selain mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Selaras dengan isu semasa berkaitan jabatan yang timbul, penjelasan perlu diberikan kepada semua warga kerja mengenai peranan Jabatan Perhutanan dalam memastikan hutan sebagai khazanah negara terpelihara dan diurus secara mampan.

“Di samping meningkatkan motivasi diri, pegawai dan kakitangan juga diharapkan dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh keikhlasan, tanggungjawab serta berintegriti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Khas dan Amanat Pegawai Hutan Daerah Rompin bersama 90 warga jabatan itu di Dewan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, di sini, kelmarin.

Nazri berkata, antara perkara yang telah disampaikan melalui perjumpaan itu ialah tentang hasrat dan arahan-arahan pihak atasan terutama daripada Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mohmad serta Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Indera Mohd Paiz Kamaruzaman.

Beliau turut menyentuh secara terperinci tentang setiap bidang tugas yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan bagi mengelak sebarang tohmahan masyarakat sekali gus memastikan tidak berlaku ketirisan terhadap hasil kerajaan negeri.

“Saya juga saran kepada setiap kakitangan agar beri kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan hutan selain mengambil tindakan serta-merta dan menyelesaikan setiap aduan yang diterima dalam kadar segera.

“Bagaimanapun, setiap tugas, tanggungjawab dan tindakan yang diambil itu perlu dilaksanakan mengikut prosedur (SOP) yang ditetapkan,” katanya.


0 comments:

share2