Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 23, 2017

[KUANTAN] MANGSA BANJIR DILINDUNGI INSURANS


Mangsa banjir dilindungi insurans


Polisi insurans dan kit permulaan makanan bakal dinikmati mangsa banjir bermula tahun ini bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail berkata, dua perkara itu antara usaha kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) bagi berdepan kemungkinan bencana banjir tahun ini.

Menurutnya, program jelajah ke seluruh Pahang dijangka akan dijalankan pada pertengahan Oktober depan oleh syarikat insurans terlibat untuk mengenal pasti jumlah dan membuka peluang kepada orang ramai mencarum.

“Setiap isi rumah boleh mencarum premium insurans bernilai RM75 dan orang ramai hanya perlu membayar RM10 setahun dan RM65 pula ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

“Mereka akan mendapat jumlah pampasan sebanyak RM1,000 untuk bencana banjir dan kebakaran (RM10,000) berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Wisma Sri Pahang di sini, kelmarin.

Muhammad Safian berkata, kit makanan yang disediakan ialah biskut dan kudapan bagi mengalas perut.

Katanya, berdasarkan pengalaman, kit makanan itu dapat mengelakkan mangsa kelaparan sebelum bantuan sampai.

“Kit-kit ini akan dihantar ke pusat pemindahan dan proses penghantarannya akan diuruskan oleh Nadma dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.

Sementara itu, Muhammad Safian berkata, Pahang dijangka menerima kadar hujan di tahap normal tahun ini namun tidak bermakna tidak berlaku banjir.

Hujan dijangka mula turun pada minggu ketiga November dan berterusan hingga akhir Mac tahun depan.

Menurutnya, terdapat peningkatan jumlah pangkalan hadapan iaitu 116 buah berbanding 107 pada tahun lalu dan jumlah tertinggi di daerah Temerloh.


0 comments:

share2