Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 23, 2017

[RAUB] BUNIAN, RAFFLESIA SINONIM ULU DONG


Bunian, rafflesia sinonim Ulu Dong


Kampung Peruas terletak kira-kira 36 kilometer (km) dari bandar Raub, manakala pekan kecil terhampir ialah Pekan Dong dengan jarak lebih kurang 18km adalah sebuah kampung tradisional terletak dalam Mukim Ulu Dong.

Diterokai dan diduduki sejak 1890-an dalam kawasan seluas kira-kira 478 hektar, kini seramai 508 penduduk daripada 108 keluarga tinggal di kampung berkenaan.

Menurut cerita mulut ke mulut sejak sekian lama, Kampung Peruas mempunyai kaitan dengan makhluk halus iaitu orang bunian.

Pada zaman dahulu, dikatakan kebanyakan penduduk mempunyai hubungan akrab dengan orang bunian dan disebabkan itulah, mitos bunian sangat popular dalam kalangan masyarakat sekitar khususnya di Pulau Chekas dan Kampung Peruas.

Seorang penduduk, Abdul Khalid Abdul Majid, 67, berkata, nama Kampung Peruas dikatakan kerana perbuatan orang bunian bernama Menteri Jerung yang enggan berkahwin dengan Menteri Tanak.

Menurutnya, oleh kerana enggan menurut perintah untuk dikahwinkan dengan wanita yang bukan pilihan hatinya, Menteri Jerung bertindak melarikan diri hingga ke sungai sambil membawa perahu.

“Dengan menggunakan perahu, Menteri Jerung mampu bergerak laju melalui sungai dan dia juga telah mencampakkan batu besar agar menjadi jeram supaya perahu digunakan boleh melalui sungai itu.

“Jeram yang ada di sungai Pulau Chekas dan Peruas dipercayai akibat perbuatannya,” katanya.

Abdul Khalid berkata, Menteri Jerung melalui sepanjang laluan sungai tersebut hingga tiba di sungai buta yang tidak mengizinkannya menggunakan perahu.

“Dia kemudiannya berjalan kaki. Setelah keletihan dia tidur di ruas buluh. Sebab itu kalau kita lihat banyak pokok buluh ada di sekitar Sungai Ulu Dong.

“Setelah tersedar, dia bingkas bangun dan minum air dari sungai. Selepas segar, dia kembali berjalan kaki untuk berkelana.

“Jadi, nama Kampung Peruas ini diambil kerana Menteri Jerung puas dapat berehat di ruas buluh sambil menikmati air sungai yang menyegarkan badannya,” katanya.

Abdul Khalid berkata, walaupun cerita itu hanya mitos, tapi dia percaya wujud orang bunian di kampung tersebut.

Abdul Khalid (kiri) ketika menceritakan mitos orang bunian di Kampung Peruas.


Katanya, ketika dia masih kecil, seorang penduduk mengahwini wanita bunian dan memiliki beberapa anak di ‘alam sana’.

“Kisah ini berlaku sekitar 1960-an apabila penduduk itu menceritakan kepada saya dia telah berkahwin di alam bunian dan tinggal di ‘sana’ beberapa hari.

“Apabila dia kembali ke alam realiti, penduduk kampung lain mempersoalkan kehilangannya yang agak lama, tapi dia kata hanya pergi sekejap saja ke alam bunian.

“Memang orang kampung di sini percaya dan boleh terima cerita tu, sebab yang pertama dia sendiri yang cerita dah kahwin dengan orang bunian dan ada anak. Tapi dia pesan kepada anak-anaknya agar jangan usik orang kampung kerana mereka saudaranya,” katanya.

Abdul Khalid turut menjelaskan, manusia yang memasuki alam ghaib sukar kembali ke alam nyata kerana dia tidak akan menyedari keadaannya sedang berada di alam sana.

“Alam itu dikatakan sama saja dengan alam nyata, cuma bezanya perjalanan masa di antara kedua-dua alam. Sudah tentu semua yang diciptakan ALLAH SWT mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.


0 comments:

share2