Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 22, 2017

[PEKAN] SIPUT GONDANG EMAS SERANG PADI


Siput gondang emas serang padi


Kira-kira 100 pesawah di Kampung Pahang Tua terpaksa berdepan dengan serangan siput gondang emas (SGE) sejak tiga tahun lalu.

Serangan SGE menyebabkan pesawah berdepan dengan kerugian yang besar apabila padi yang ditanam rosak.

Pesawah yang ditemui, Ishak Abdul, 49, berkata, dia mengalami kerugian antara RM7,000 hingga RM12,000 setiap musim disebabkan serangan SGE termasuk tikus dan burung biru yang semakin serius.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan pesawah juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli racun bagi membunuh siput berkenaan yang mudah membiak dengan cara bertelur.

“Kita terpaksa menggunakan racun setiap kali musim menanam namun serangan SGE terhadap anak pokok padi berumur 20 hari tetap terus berlaku.

“Telur siput membiak dengan cepat dan banyak menyebabkan kita sukar mengawalnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ishak berkata, pesawah juga terpaksa memungut siput dewasa yang terdapat dalam sawah namun gagal apabila beberapa bulan selepas itu SGE akan muncul semula.

Dia berpengalaman lebih 20 tahun mengusahakan sawah berkata, antara faktor projek tanaman padi di kawasan sawah Pahang Tua tidak mencapai kejayaan membanggakan ialah disebabkan serangan SGE, tikus dan burung biru secara berterusan.

“Saya mengusahakan sawah seluas 11.3 hektar di kawasan sawah Kampung Pahang Tua dan setiap musim terdapat beberapa petak sawah diserang SGE yang aktif pada waktu petang dan malam malah semua pesawah di sini menghadapi masalah yang sama.

“SGE bergerak masuk ke dalam petak sawah bersama air yang dialirkan pada peringkat awal penanaman, siput terbabit akan makan daun anak benih padi hingga menyebabkan pokok mati selain pertumbuhan tidak sekata,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhd Rizal Baharom berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk membantu pesawah mengatasi masalah serangan SGE yang kini semakin serius dan membimbangkan. 

Katanya, racun yang dibekalkan kepada pesawah untuk membunuh SGE setiap kali musim menanam kini dilihat tidak berkesan.

“SGE mempunyai ketahanan diri yang kuat mungkin disebabkan racun berkenaan sudah lama digunakan.

“Saya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pesawah bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah serangan SGE termasuk ancaman tikus dan burung biru yang menjadi musuh utama kawasan sawah Kampung Pahang Tua,” katanya.


0 comments:

share2