Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 22, 2017

[KUANTAN] BAKTI LANGKAU BATAS KAUM


Bakti langkau batas kaum


PENGLIBATAN bersama sukarelawan pelbagai kaum dalam program kemasyarakatan dan kerja- kerja amal jelas membuktikan perbezaan kaum, budaya, dan agama bukan satu batasan.

Keterbukaan itu dibuktikan sekumpulan 35 sukarelawan dalam kalangan belia dari Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Pahang, YMM Kuantan, Najib Razak Club 11 (NRC 11) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang.

Kumpulan terbabit turun padang bergotong-royong dan menyantuni penghuni Rumah Orang Tua Persatuan Tionghua Kuantan di sini.

Lebih mengagumkan, para sukarelawan daripada kaum Melayu yang terlibat langsung tidak kekok melayan penghuni warga emas yang kebanyakan agak uzur biarpun peluang itu merupakan pengalaman pertama mereka.

Bagi mereka, sebelum ini mereka mungkin tidak berpeluang untuk menyantuni golongan memerlukan dari kaum lain dan menganggap peluang itu satu perkembangan baharu dalam aktiviti kesukarelawan yang diceburi.

Pecah tradisi

Bagi pelajar Politeknik Metro Kuantan yang juga sukarelawan GPMS, Mohd Amiruddin Iskandar Mohamed Nasir, 20, berkata, dia tiada masalah untuk membantu mereka yang memerlukan biarpun berlainan bangsa.

Menurutnya, dalam melaksanakan kerja amal, batasan perkauman kena tolak ke tepi sebaliknya perlu ikhlas biarpun berbeza kaum dan agama.

“Kali ni saya berpeluang dekati warga emas berketurunan Cina di sini (Rumah Orang Tua Persatuan Tionghua Kuantan) dan sudah tentu ia satu pengalaman baru.

“Lebih menyeronokkan apabila aktiviti ini turut disertai kawan-kawan dari kaum Tionghua sekaligus kami dapat saling mengenali,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Mohd Abu Na’azeim Abu Talib, 20, juga senada apabila dia ikhlas menolong penghuni rumah kebajikan tersebut biarpun berbeza kaum.

“Sebenarnya, kami tetap akan membantu tidak kira mereka Cina atau India tetapi mungkin sebelum ini kami tidak diberi peluang biarpun terlibat dalam kerja sukarela ini sudah lama.

“Jadi hari ini kami anggap aktiviti gotong-royong di sini sebagai pecah tradisi dan lebih terbuka,” katanya.

Bagi Calvin Leong, 28, dia menghargai dan berterima kasih atas kesudian rakan-rakan sukarelawan untuk bersama-sama bergotong-royong dan mendekati penghuni di rumah orang tua tersebut.

Katanya, dia sering mengadakan program kebajikan di rumah itu sebelum ini namun kebanyakan sukarelawan yang datang dari kaum Cina.

“Ini satu perkembangan baik dan tembok perkauman perlu dipecahkan dalam kita melaksanakan kerja amal.

“Bila Melayu bantu Cina dan sebaliknya, ia sebenarnya membantu memupuk kembali perpaduan kaum yang kebelakangan ini semakin terhakis,” katanya.

Perlu diadakan berterusan

Perkembangan positif itu disambut baik Pengerusi Kehormat YMM Pahang, Tee Choon Ser.

Menurutnya, program atas inisiatif NRC 11 dengan kerjasama GPMS Pahang melibatkan sukarelawan belia pelbagai kaum itu merupakan satu usaha murni .

“Kita bangga apabila sukarelawan yang terlibat hari ini sanggup korbankan cuti hujung minggu mereka semata-mata untuk bersihkan rumah orang tua ini dan pada masa sama ambil peluang melayan penghuni.

“Ini usaha yang baik dan kita lihat para sukarelawan juga tidak kekok melayan warga emas di sini seolah-olah mereka begitu dekat atau pun macam dah kenal lama biarpun baru pertama kali ke sini,” katanya.

Katanya, usaha sebegitu wajar diadakan secara berterusan bukan sahaja dalam usaha memupuk budaya sukarelawan malah untuk mendekati dan menghargai golongan tua.

“Setidak-tidaknya dengan usaha ini kita dapat pupuk perpaduan dan kebersamaan kaum dalam setiap aktiviti yang diadakan.

“Ia sekaligus menangani sebarang isu melibatkan perkauman yang cukup bahaya dan boleh mengganggu-gugat keamanan dan kesejahteraan negara” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.


0 comments:

share2