Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 22, 2017

[KUANTAN] TUTUP TAHFIZ JIKA INGKAR ARAHAN


Tutup tahfiz jika ingkar arahan


Semua maahad tahfiz, sekolah pondok dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) bukan di bawah kerajaan negeri diarahkan berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sehingga penghujung tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, tempoh pemutihan yang ditetapkan itu bagi memberi peluang kepada pemilik maahad tahfiz, sekolah pondok dan SAR membuat pendaftaran institusi pendidikan serta bangunan tambahan milik mereka.

Menurutnya, sekiranya institusi pendidikan itu gagal mendaftar, tindakan undang-undang boleh diambil termasuk arahan penutupan institusi berkenaan.

“Kegagalan pemilik institusi itu berdaftar akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 133 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 yang memperuntukkan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Pendaftaran ini penting bagi membolehkan Muip membuat pemeriksaan institusi pendidikan itu dari segi kelulusan PBT, kelulusan bomba, kurikulum dan tenaga pengajar selain menyalurkan bantuan kepada institusi terbabit,” katanya.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan isu keselamatan premis dan bangunan maahad tahfiz serta sekolah pondok di Pahang yang diadakan susulan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa.

Jelasnya, setakat ini, 333 daripada 538 maahad tahfiz, pondok dan SAR di negeri ini telah didaftarkan manakala selebihnya masih beroperasi tanpa adanya pendaftaran secara sah daripada pihak Muip.

Wan Abdul Wahid berkata, bagi tujuan tersebut, satu panel semakan dan penilaian dikenali sebagai Panel Semakan Pendaftaran institusi pendidikan bukan kerajaan ditubuhkan bagi memperkemaskan serta meneliti permohonan pendaftaran.

“Kita tubuhkan panel ini untuk memudahkan institusi pendidikan itu mendapat kelulusan dengan memenuhi syarat ditetapkan oleh pihak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Wahid berkata, Muip, pihak berkuasa tempatan serta agensi penguat kuasa boleh mengambil tindakan terhadap institusi yang gagal untuk berdaftar selepas tempoh pemutihan dan ia termasuk menutupnya daripada meneruskan operasinya.

“Kita memandang serius perkara ini dan tidak mahu aspek keselamatan diabaikan sehingga menyebabkan berlaku kejadian tidak diingini pada masa depan.

“Antara manfaat sekiranya ia berdaftar adalah ia boleh mendapat bantuan daripada Muip dan kerajaan contohnya ada memberikan dana kewangan berjumlah RM200 sebulan kepada setiap pelajar yang institusinya berdaftar dengan kita,” katanya.


0 comments:

share2