Menghabiskan sisa usia di sebalik tirai besi pastinya sukar digambarkan namun itulah hakikat perlu diterima warga emas, Pak Man (bukan nama sebenar), 76, yang dihukum penjara lebih 10 tahun atas kesalahan merogol.
Datuk kepada lebih 30 cucu itu sudah menjalani hukuman selama lebih dua tahun dan kini keadaan kesihatan sedikit terganggu serta terpaksa berkerusi roda.
Menurutnya, sepanjang menjalani hukuman, penghuni yang lain banyak membantunya memandangkan usia yang lanjut.
“Sejak berada di sini, saya banyak mendekatkan diri dengan ALLAH. Sebelum ini, saya pernah bekerja di bengkel di dalam penjara, namun masalah kesihatan membuatkan saya tidak mampu meneruskannya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertaubat dan muhasabah diri di dalam penjara ini,” katanya.
Pak Man ditemui pada Program Jalinan Kasih sempena Maal Hijrah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pahang di Penjara Penor, di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussin; Exco MCPF Pahang, Datuk Ch’ng Ewe Kok dan Pengerusi MCPF Kuantan, Datuk Seri Chong Chin Fung.
Pak Man yang bekerja sebagai tukang urut sebelum ini mengakui menyesal dengan tindakannya dahulu dan mahu menjalani hukuman dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, kelakuan dan disiplin yang baik sepanjang menjalani hukuman melayakkan Amin, 53, menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Penjara Penor.
Amin menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah daripada Chin Fung.
Dia dikenakan hukuman penjara selama 11 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan mengedar dadah.
Bapa kepada lima anak itu melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang kedua dalam hidupnya.
Katanya, sepanjang menjalani hukuman, dia mendapat bimbingan dalam bidang agama sehingga boleh mengaji dan menghafal al-Quran.
“Saya tidak akan sia-siakan peluang kedua ini dan mahu menebus kesalahan saya. Jika saya bebas nanti, saya mahu membina hidup baru bersama keluarga,” katanya yang gembira dengan kehadiran isteri dan anak-anaknya semalam.
Pada program itu, seramai 13 penghuni dipilih untuk bertemu dengan keluarga masing-masing.
0 comments:
Post a Comment