Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 22, 2017

[ROMPIN] NELAYAN IBARAT 'PEMBURU' SUMBER PROTEIN NEGARA


sad


Tidak kira nelayan darat atau laut, peranan dan jasa golongan itu sangat besar kepada negara serta bantuan yang disalurkan adalah bukti mereka diiktiraf.

Pekerjaan dalam sektor itu tidak sama dengan sektor lain kerana mereka ibarat keluar memburu namun tiada jaminan akan pulang dengan hasil tangkapan hinggakan kadang-kadang modal minyak pun hangus.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain, berkata, justeru itu mereka ini telah diberikan bantuan saraan bulanan berdasarkan syarat-syarat ditetapkan masing-masing RM200 bagi nelayan darat manakala RM300 bagi nelayan laut.

"Mereka ini pergi ke laut menempuh pelbagai cabaran untuk memburu ikan demi membawa balik sumber protein kepada kita (rakyat), jadi golongan nelayan ini memang istimewa.

"Mereka tidak sama seperti petani, walaupun ada risiko tetapi boleh jangka pulangan berdasarkan hasil tanaman, jadi inilah sebab kerajaan bantu bukan sekadar elaun namun termasuk peralatan-peralatan lain," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Bantuan Input Touch Point Kepada Nelayan Daerah Rompin yang disampaikan oleh Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain.

Seramai 200 nelayan terdiri daripada nelayan darat dan laut daerah Rompin menerima bantuan berbentuk tong insulasi, jaket keselamatan, jaring dan set peralatan menangkap ikan.

Dalam majlis itu juga, seramai 136 nelayan darat di daerah itu menerima elaun sara hidup bagi bulan Julai dengan jumlah keseluruhan RM27,200.




Sementara itu, Mohd Johari yang ditemui menzahirkan rasa kagumnya kepada golongan nelayan yang disifatkan sebagai penyambung kerja orang-orang terdahulu.

"Mereka ini keluar mencari ikan dengan risiko yang pelbagai, di laut cara lain manakala di darat pula cara lain dan maut itu boleh berlaku di mana-mana, jadi bantuan ini antaranya adalah untuk melindungi mereka seperti pemberian jaket keselamatan.

"Biar pun mereka keluar mendapatkan hasil tangkapan tanpa tahu ia ada di mana namun ia tetap dilakukan demi mencari pendapatan, ini membuatkan saya rasa kagum," katanya.


0 comments:

share2