Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 23, 2016

MB ARAH HENTI GUNA BELON


MB arah henti guna belon


Kuala Terengganu - Kerajaan negeri mengeluarkan arahan tidak membenarkan penggunaan belon pada semua majlis kerajaan buat sementara waktu berkuat kuasa serta merta semalam, ekoran tragedi belon meletup yang melibatkan 31 mangsa di Dataran Batu Burok, kelmarin.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri akan melihat semula mana- mana majlis menggunakan belon supaya tidak meneruskan usaha itu.

“Saya akan keluarkan arahan tidak menggunakan belon hari ini (semalam) juga supaya tiada penggunaan belon pada majlis-majlis kerajaan negeri buat sementara waktu.

“Langkah ini diambil supaya mengelak kejadian sama berlaku kerana buat masa ini kita mendapat maklumat bahawa belon itu menggunakan gas helium tetapi saya hairan kerana sekiranya gas itu (helium), kesannya tidaklah seteruk apa yang telah berlaku.

“Saya sudah menerima laporan daripada jabatan kesihatan dan sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada pihak tertentu berhubung kejadian ini,” katanya kepada media selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Dalam masa sama, Ahmad Razif berkata, pihaknya akan arahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penguat kuasa memantau penjualan belon terutama di kawasan pantai bagi melihat penggunaan gas di dalam belon dijual supaya tidak akibatkan letupan atau kebakaran.

Ahmad Razif turut berkongsi kesedihan terhadap kejadian menimpa mangsa dan keluarga mangsa dan akan melihat keperluan yang boleh dibantu kerana sebahagian besar mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

“Kita akan pastikan apa yang berlaku ini tidak memberi kesan seperti trauma, kecacatan dan sebagainya kepada mangsa kerana mereka adalah kanak-kanak yang berhak mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Mengulas keadaan mangsa, beliau berkata kesemua mangsa adalah kakitangan Jabatan Kesihatan Terengganu dan anak mereka.

Ekoran kejadian kelmarin, tujuh dimasukkan ke wad HSNZ, iaitu empat mangsa berusia antara 12 hingga 33 tahun di tempatkan di Wad Kebakaran manakala dua lagi berumur 11 dan 12 tahun di Wad Plastik dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan 24 mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar.

Mangsa yang paling serius ialah kanak-kanak berusia 9 tahun sedang menerima rawatan di PICU dengan kesan kebakaran 13 peratus pada bahagian muka, leher dan tangan, namun berada di dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, (petang semalam) semua mangsa stabil dan memerlukan pemerhatian rapi,” katanya.


0 comments:

share2