Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 23, 2016

[LIPIS] PENDUDUK RUGI RATUSAN RIBU RINGGIT


Penduduk rugi ratusan ribu ringgit


“Dari jauh makcik nampak ada ‘benda’ besar kat tengah jalan. Rupanya benda tu gajah tengah makan umbut pokok kabung, makcik terus menjerit,” demikian kata seorang warga emas, Rosnani Hassan, 60, ketika menceritakan pengalamannya terserempak dengan gajah liar beberapa bulan lalu ketika dalam perjalanan ke kebun getah.

Warga emas dari Kampung Batu 9, Lipis itu berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 6.50 pagi ketika dia bersama adik lelakinya, Mohd Isa Hassan, 56, menaiki motosikal ke kebun bagi mengutip getah buku.

Menurutnya, beberapa hari sebelum itu, penduduk kampung kecoh apabila ternampak gajah masuk kawasan kampung, namun disebabkan terpaksa mencari rezeki, mereka memberanikan diri untuk ke kebun seperti biasa.

“Ketika melalui Jalan Batu 9 ke Kuala Kenong pada awal pagi dengan suasana sekitar agak berkabus, pandangan kami yang menaiki motosikal agak terhad.

“Tiba-tiba kami ternampak haiwan besar tu tengah cari makanan, jadi makcik menjerit minta adik patah balik sebab risau gajah akan menyerang kami," katanya.

Rosnani berkata, selepas berpatah balik, dia menoleh ke belakang dan melihat haiwan berkenaan berlari ke kawasan semak berhampiran.

Katanya, bimbang perkara tidak diingini berlaku, dia menunggu sehingga hari cerah dan pergi ke kebun bersama penduduk kampung yang lain.

“Kejadian terserempak dengan gajah ini bukan kali pertama berlaku. Tahun lepas masa pergi ke kebun getah di Kampung Kuala Kenong, makcik duduk setentang dengan haiwan itu dalam jarak kira-kira 30 meter.

“Masa tu memang makcik terkejut dan tak mampu buat apa-apa. Mujur juga gajah tu tak bertindak ganas. Makcik undur ke belakang perlahan-lahan nak elakkan ia terkejut dan menyerang,” katanya.

Bagi Pengerusi Tanam Semula Berkelompok (TSB) Batu Buaya, Kuala Kenong, Akhmar Abdul Hamid, 55, berkata, gangguan gajah di kawasan TSB berlaku lebih 10 kali sejak tahun 2010 hingga banyak pokok tanaman dimusnahkan.

Menurutnya, akibat serangan gajah liar, lebih 40 hektar kawasan tanaman anak pokok getah berusia lebih dua tahun musnah sehingga peserta mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

“Serangan gajah ini bukan perkara baru berlaku di kawasan Kampung Batu 9, Kuala Kenong dan beberapa kampung tradisional lain sekitar daerah Lipis.

“Kekerapan haiwan liar ini masuk ke kawasan kebun getah dan merosakkan tanaman menimbulkan rasa takut kepada penduduk untuk keluar mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, bagi peserta projek Tanam Semula Berkelompok Getah (TSBG) Risda Kampung Kepong, Bukit Kota, Hulu Jelai masalah pencerobohan gajah liar ke kawasan kebun sekitar bulan Mac lalu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar.

Zaiton Dilu, 53, berkata, dia mengalami kerugian ribuan ringgit apabila pokok getah ditanam yang berusia dua tahun, tong penyimpanan air, pondok tempat berehat dan stor peralatan pertanian yang dibina dimusnahkan oleh haiwan berkenaan.

“Kita harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) sentiasa berusaha menghalau atau buat pemantauan pergerakan gajah liar di mana-mana lokasi yang menjadi laluan haiwan tersebut,” katanya.


0 comments:

share2