Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 7, 2016

[KUANTAN] MERAJUK DENGAN DATUK MAIMUN



Merajuk dengan Datuk Maimun

Kekecewaan 11 individu terhadap pemimpin yang tidak mengotakan janji, menyebabkan wujudnya Kampung Pandan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Bandar Kuantan.

Pada 1963, 11 penduduk dari Kampung Galing Besar berhijrah ke kawasan itu dan membuka sebuah penempatan selepas merajuk dengan wakil rakyat mereka yang dikenali sebagai 'Datuk Maimun'.

Khabarnya, Datuk Maimun telah berjanji mahu memberikan sebidang tanah lot kepada penduduk di Bukit Sekilau.

Namun, janji kosong itu menyebabkan penduduk terbabit berhijrah dan membuka tempat dinamakan Kampung Sungai Pandan.

Bagaimanapun, sekitar 1950-an, kawasan berkenaan dikatakan sudah mula diteroka secara haram oleh masyarakat Kampar.

Kini, Kampung Sungai Pandan dipecahkan kepada dua pentadbiran di bawah Kampung Pandan 1 dan Kampung Pandan 2.

Tebing sungai dipenuhi daun pandan

Ketua Kampung Pandan 2, Abdul Radzi Ahmad berkata, Kampung Pandan diberi nama sempena Sungai Pandan yang ada di situ.

“Mungkin disebabkan banyak pokok pandan di tebing sungai nama Kampung Pandan mula menjadi buah mulut penduduk seterusnya mereka sepakat menamakan Kampung Pandan yang dikenali hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Abdul Razi, ketua kampung yang pertama dilantik dalam kalangan 11 penduduk yang merajuk dan dikenal sebagai Abdullah Yahya.

“Bagaimanapun, jika difikirkan secara positif, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana perpindahan itu membawa impak kemajuan kepada kampung ini,” katanya.

Kini, Kampung Pandan 1 dan Kampung Pandan 2 yang dipisahkan sebatang sungai itu mempunyai identiti berbeza.

Kampung Pandan semakin maju

Kedudukan Kampung Pandan yang berdekatan bandar menjadikan ia semakin maju apabila banyak projek perumahan dibangunkan.

Katanya, kemudahan yang menjadi kebanggaan penduduk Kampung Pandan 1 adalah Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah kini sudah dinaik taraf.

Penduduk yang mempunyai banyak tanah memajaknya untuk dijadikan taman perumahan selain kemudahan sedia ada termasuk sekolah, stesen minyak, kem askar.

“Lebih membanggakan, lebih 20 taman perumahan di kawasan ini di samping kemudahan masjid, klinik kesihatan, tadika, pusat kraftangan dan kemudahan lain,” katanya.

Sementara pembangunan di Kampung Pandan 2 terlihat apabila kemudahan Jalan Pintasan Kuantan – Kemaman dibangunkan yang bukan sahaja menjadi laluan utama penduduk di daerah ini tetapi menjadi penghubung kepada pemandu dari Kuala Lumpur ke Terengganu.

Pernah terjejas banjir

Banjir besar yang berlaku di daerah ini pada 2001 dan 2013 menyebabkan kawasan kampung dan taman perumahan sekitar Kampung Pandan terjejas teruk.

Air Sungai Pandan yang mengalir ke Paya Besar melalui parit mudah dinaiki air yang kemudian melimpah ke kawasan petempatan penduduk.

“Kawasan rendah menyebabkan banjir boleh berlaku dan keadaan ini mungkin juga disebabkan sistem perparitan tidak sistematik,” katanya yang berharap sistem berkenaan ditambah baik kerana membabitkan banyak kawasan perumahan.


0 comments:

share2