Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 1, 2016

RAMADAN MENGAJAR SALING HORMAT


Ramadan


Ramadan pada tahun ini sedikit berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Kita disuntik dengan pelbagai isu sepanjang Ramadan ini. Pilihan Raya kecil (PRK) berkembar di Sungai Besar dan Kuala Kangsar memamah masa dan nilai ibadah puasa umat Islam. Perbalahan demi perbalahan bagi mengisi peti undi berlangsung sehingga mengkesampingkan ibadah puasa.

Seusai PRK timbul pula isu kategori kafir harbi antivaksin dan bayaran terus zakat pula mengambil tempat di persada media.

Terkini kecoh di media sosial apabila seorang wanita Muslimah bertudung tidak berpuasa makan di khalayak awam. Wanita Muslimah tersebut mengakui tidak berpuasa dan mempertahankan hak beliau makan kerana kelaparan dan tidak diwajibkan berpuasa. Umum tahu wanita yang sedang haid adalah antara golongan yang dikecualikan berpuasa mengikut hukum syarak. Wanita Muslimah ini mendakwa telah diganggu (harass) akibat perbuatan beliau ini di samping ingin menyanggah ‘kawalan moral (moral policing) yang selama ini menjadi norma ikutan masyarakat.

Penulis sangat terkilan dengan tindakan sebegini. Tatkala berlaku perlakuan mencabar norma budaya menyentuh akhlak Islam pula sudah pasti ada yang mempertahankannya atas neraca hak asasi tiada nas dan banyak lagi. Kali ini ia dipertahankan oleh seorang anggota parti siasah yang mengatakan tiada kesalahan makan di khalayak pada bulan Ramadan.

Kenyataan sebegini adalah keliru dan mengelirukan. Kedudukan amnya adalah umat Islam berpuasa bulan Ramadan, yang tidak berpuasa itu adalah pengecualian dan diberikan rukhsah oleh ALLAH SWT. 

Jika wanita haid makan dikhalayak kerana tidak berpuasa bagaimana pula orang yang bermusafir diberikan rukhsah untuk tidak berpuasa, bolehkah para musafir ini berceronggok beramai-ramai dengan sewenang-wenangnya makan dikhalayak? Bagaimana pula orang yang mempunyai penyakit tertentu boleh makan sesuka hati di mana sahaja? Sudah pasti penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah akan tempang jika ia menjadi realiti. Bagi orang sakit pula saya tidak pernah mendengar penguatkuasa agama menyerbu hospital-hospital pada Ramadan kerana para pesakit tidak berpuasa atau tidak menghormati Ramadan. Kenapa perkara ini berlaku? Ia adalah disebabkan pihak penguatkuasa agama tahu para pesakit tersebut tidak bertujuan tidak menghormati Ramadan.

Adalah suatu kesilapan mengatakan makan di khalayak itu tidak menjadi kesalahan. Walaupun secara per se ia tidak merupakan kesalahan tetapi Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menjadikan kesalahan jika tidak menghormati Ramadan. Tidak menghormati Ramadan termasuklah makan di khalayak.

Seksyen 19. Tidak menghormati Ramadan. Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan:-

(a) menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu;

(b) secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Oleh hal yang demikian kesalahannya ialah tidak menghormati Ramadan bukan tidak berpuasa. Walaupun perbuatannya mungkin sama tetapi implikasinya berbeza.

Kedudukan ini amatlah jelas dan penulis berasa masyghul bagaimana seorang penggiat pertubuhan siasah mengatakan ia bukan kesalahan sedangkan kerajaan yang mana partinya sendiri memerintah mengekalkan kesalahan tidak menghormati Ramadan ini.

Sebagai seorang warganegara kita tidak boleh ambil pendekatan undang-undang secara sendiri-sendiri. Apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebagai undang-undang perlulah dipatuhi bukan dicabar. Wanita Muslimah ini mungkin mahu menjadi juara apabila tindakan diambil terhadapnya, namun precedent dibuatnya adalah amat berbahaya. Kelak akan berlaku apabila seseorang itu mempertikaikan Undang-Undang Keluarga Islam dengan mengatakan tidak perlu mendaftarkan perkahwinan dan perceraian di pejabat agama kerana Islam menghalalkan perkahwinan dan perceraian. Padahnya masyarakat akan jadi kucar-kacir.

Jika benar beliau ingin menjuarai isu ini, pergilah berdialog dengan pihak kerajaan terlebih dahulu supaya undang-undang berkaitan khususnya Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tersebut dimansuhkan terlebih dahulu sebelum mencabar undang-undang tersebut.

Amat malang bagi mereka yang mengatakan makan di khalayak bagi mereka yang tidak berpuasa adalah suatu hak. Di manakah hak tersebut dinyatakan? Lainlah bagi rakan senegara yang tidak Islam, mereka tidak dipertikaikan makan di khalayak. Mereka juga tidak tertakluk kepada undang-undang Islam.

Acapkali pendekatan liberal sebegini mempertikaikan satu persatu apa yang sudah menjadi norma budaya timur kita. Norma ini dilunturkan sehingga kita sudah tidak lagi pasti warna apakah yang ingin dilakarkan untuk kita. Menyemai benih pohon asing di bumi nusantara tidak semestinya menghasilkan pohon yang rendang enak berbuah.


* Datul Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


0 comments:

share2