Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 2, 2016

[MARAN] PENDUDUK MASIH TRAUMA KES ISTERI TIKAM SUAMI


Penduduk masih trauma kes isteri tikam suami


Berita isteri tikam suami disyaki akibat cemburu berlegar pantas menggemparkan seluruh penduduk Kampung Paya Besar Kertau, Chenor di sini, semalam.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lias Rahman, 53, berkata, ia kejadian yang mengejutkan dan menggemparkan seisi kampung kerana hal yang pertama kali seumpamanya terjadi.

"Kami tidak tahu sama ada pasangan ini bermasalah atau tidak selama ini. Sekadar kenal begitu saja. Mereka keluarga yang jenis buat hal sendiri. Isterinya pula memang tak berapa campur dengan penduduk. Tapi mangsa ni kalau berjumpa dengan penduduk, ramah saja.

"Pagi itu keluarga mangsa datang ke rumah saya minta tolong. Mereka tak cakap apa yang jadi cuma riak wajahnya tu menampakkan seperti masalah besar. Apabila saya ke sana, saya lihat mangsa dah terbaring dengan perut terburai dan berlumuran darah. Saya suruh cari kereta untuk hantar ke klinik. Waktu tu mangsa cuma cakap tolong," katanya.

Menurutnya tidak berapa lama kemudian beliau menerima khabar oleh biras mangsa bahawa mangsa sudah meninggal dunia di klinik.

Jiran mangsa, Mak Embong,54, berkata, beliau trauma dan tidak boleh tidur kerana teringat keadaan mangsa dengan perut terburai berlari ke hadapan rumah jirannya, semalam.

"Waktu itu saya ada depan rumah (selang sebuah dari rumah mangsa). Mangsa berlari sambil tekan perutnya yang berdarah ke depan rumah jiran saya sebelum baring di bawah pokok ini. Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang keadaan itu," katanya.

Menurut Mak Embong, isteri mangsa seorang suri rumah dan mereka tinggal dengan anak berumur 11 tahun dan seorang lagi berumur sembilan bulan.

Pasangan tersebut tinggal di situ kurang setengah tahun yang lalu, menyebabkan mereka tidak berapa erat kerana kurang bergaul.


0 comments:

share2