Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 2, 2016

HAJAT MAHU ANAK IMAMKAN SOLAT TERMAKBUL


Hajat mahu anak imamkan solat termakbul


Rembau - Ayah nak tengok saya habis belajar sampai saya imamkan ayah sendiri... alhamdulilah pesanan terakhirnya meminta saya mengimamkannya tercapai,” luah anak bongsu pelakon veteran Datuk Aziz Singah, Mohamed Haikal Abdul Aziz, 21, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Bongek Acheh, di sini, tengah hari tadi.

Haikal yang baru sahaja tamat pengajian dalam Diploma Syariah berkata, dia berasa sangat bersyukur kerana semua perkara yang dipesan serta diminta arwah ayahnya dapat ditunaikan dengan baik termasuklah jenazah arwah ayah disemadikan di sebelah kubur arwah nenek mereka.

“Perasaan saya memang sedih, rasa kehilangan... permata yang satu hilang siapa tak sedih. Pesanan terakhir ayah minta saya imamkannya...

"Alhamdulilah sekarang rasa tercapai... doalah saya berjaya sampai akhirnya nanti,” luahnya.

Jenazah allahyarham selamat tiba di Masjid Kariah Kampung Bongek kira-kira jam 11.00 pagi dan disolatkan oleh lebih 100 saudara mara, kenalan, serta penduduk kampung.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Khatijah Abu Hassan dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Rizal, 48, Ruzaimei, 44, dan Ruzaley, 35, namun hubungan itu tidak bertahan lama.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan Datin Zunita Mohamed dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan tiga anak iaitu Syed Abdul Rahman, 27, Mohamad Danial, 23, dan Mohamed Haikal.

Seawal jam 10.30 pagi, rakan artis antaranya Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Rahim Jailani; Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zulkifli Mohamad @ Zack Kool; S. Sahlan, 74, Sharifah Aminah serta sahabat handai, saudara mara berkumpul di Masjid Kariah Kampung Bongek.

Allahyarham meninggal dunia akibat kanser prostat tahap empat kira-kira sejam selepas di bawa pulang ke kediamannya di Seri Kembangan, Serdang, kira-kira jam 11.30 malam semalam.

Antara drama dan filem yang pernah dibintangi Allahyarham ialah PJ Holding, Sembilu Kasih, Sate, Maria Mariana, Impian, Kemarau Cinta.


0 comments:

share2