Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 20, 2015

TEMERLOH: ENAM LAGI SJKT BAHARU AKAN DIBINA


Enam lagi SJKT baharu akan dibina


Kerajaan akan membina sebanyak enam lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara menerusi Kementerian Pendidikan dalam usaha melonjakkan lagi kemajuan SJKT di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan berkata, pembinaan yang melibatkan peruntukan khas Perdana Menteri itu akan mula dilakukan dalam waktu terdekat pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan SJKT di seluruh negara sebanyak 530 buah sekolah.

Menurutnya, daripada jumlah itu enam dibina baharu manakala baki 524 SJKT sedia ada akan menerima peruntukan daripada kementerian untuk meningkatkan infrastruktur.

“Inilah hasrat kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat lonjakan SJKT daripada segi infrastruktur yang mana kerajaan sentiasa memainkan peranan menambahbaik infrastruktur sekolah bukan sahaja di Lanchang tetapi di seluruh negara.

“Semua ini dapat dilaksanakan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib yang memberi peruntukan besar kepada SJKT. Sejak 2009 hingga 2014 sebanyak RM660 juta diperuntukkan bagi pembangunan SJKT,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke tapak bangunan baharu SJKT Lanchang di sini, semalam.

Turut hadir, Adun Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Pengarah Urusan Bergamo Design (M) Sdn. Bhd., K. Vijayendren.

Bangunan SJKT baharu Lanchang yang bernilai RM7.1 juta dibina di kawasan tanah milik Sime Darby seluas 1.2 hektar oleh syarikat Bergamo Design Sdn. Bhd.

Menurut Kamalanathan, pada masa ini pihak kementerian telah melantik beberapa perunding bagi melaksanakan proses pembinaan SJKT baharu tersebut termasuk pengeluaran tender.

Beliau berkata, selepas tender diberikan pihak kementerian akan terus memastikan pembinaan sekolah terbabit dilakukan secepat mungkin bagi memenuhi keperluan pendidikan penduduk setempat.

Kamalanathan berkata, pihak kementerian telah mengenal pasti keperluan kesemua 524 SJKT di seluruh negara bagi memperkasakan lagi infrastruktur di sekolah berkenaan.

Katanya, penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan sekolah dan juga peruntukan yang ada.

Beliau berkata, pihaknya amat berpuashati dengan prestasi pembinaan SJKT Lanchang yang dijangka siap awal menjelang penghujung tahun ini berbanding jadual asal 2016.

“Kita berterima kasih kepada pihak kontraktor yang dapat menyiapkan lebih awal dengan kualiti yang ditetapkan dan berharap sesi persekolahan dapat dimulakan Januari tahun hadapan,” katanya.

0 comments:

share2