Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 20, 2015

NEKAD PELUK ISLAM WALAU DITENTANG


Nekad peluk Islam walau ditentang


Kuala Ketil – Biarpun mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun ia tidak menjadi halangan buat seorang wanita berbangsa India untuk nekad memeluk Islam 19 tahun lalu.

Rohani Ponnamah Abdullah, 48, dari Kampung Kuala Temakah, dekat sini berkata, ketika itu keluarga suaminya banyak membantu dari segi sokongan moral, motivasi dan keyakinan untuk terus tabah berdepan dugaan.

"Beberapa tahun saya tak bertegur sapa dengan keluarga yang mana saya ada 11 adik beradik," katanya.

Menurutnya, ketika itu dia yakin dengan ajaran ALLAH SWT yang lebih banyak memberi ketenangan kepadanya biarpun hanya baru berjinak-jinak dengan Islam.

"Selepas berkahwin, kami memulakan hidup baharu tanpa menoleh ke belakang lagi.

"Di samping saling bantu meningkatkan ekonomi keluarga, saya ambil peluang habiskan masa mendalami ilmu agama bersama keluarga mertua dari Parit Panjang, Baling," katanya kepada Sinar Harian.

Rohani berkata, kegembiraan dan kebahagiaannya berganda apabila dia disahkan hamil anak pertama dan selamat melahirkan seorang puteri, Rosyini Boonjo Hassan pada 2002 dan kemudiannya disahkan hamil sekali lagi beberapa tahun kemudian.

Namun, pada 2006 suaminya meninggal dunia dan kedua-dua anak perempuan kembarnya, Remaah serta Reenah, 9, yang dilahirkan pada tahun sama tidak sempat mengenal arwah bapa mereka. 

Kerja sebagai tukang cuci tampung kehidupan 

Rohani kini bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang bagi menampung sewa bulanan rumah sebanyak RM120.

Biarpun menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun apabila memikirkan perbelanjaan persekolahan anak-anak yang semakin meningkat, dia perlu bekerja keras.

Tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah diabaikan dan sering menitikberatkan pendidikan anak-anak.

Setiap pagi, Rohani akan menghantar anak kembarnya ke Sekolah Kebangsaan Batu Pekaka manakala anak sulung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil.

Masa rehat pula akan digunakan untuk mengambil anak-anak di sekolah sebelum dihantar pulang.

Itulah rutin yang kini sudah sebati dalam hidup mereka empat beranak yang tinggal dalam serba kekurangan.

Biarpun mendapat upah sedikit, namun Rohani percaya pada rezeki yang ALLAH kurniakan buat mereka sekeluarga, apatah lagi anak-anak kini bergelar anak yatim.

Jaga ibu walaupun berbeza agama

Biarpun pernah berlaku sengketa antara Rohani dan ibunya, namun pertalian mereka tidak pernah terputus apabila dia tetap menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan menjaga ibunya yang sakit terlantar.

Walaupun bergelar mualaf, Rohani tidak kekok atau tidak pernah menjadikan alasan perbezaan agama untuk mengabaikan ibunya malah sanggup tinggal serumah dengan ibu supaya boleh menjaganya.

“Tanggungjawab sebagai anak perlu dipikul memandangkan adik-beradik lain juga mempunyai masalah sendiri dan ada keluarga masing-masing.

“Sekiranya anak-anak bercuti, mereka akan memantau nenek mereka, namun apabila semua ke sekolah, saya akan panggil adik perempuan, sementara menunggu anak pulang dari sekolah,” katanya mengharapkan supaya hubungan keluarga yang pulih akan kembali erat.

Kesusahan hidup yang dialami Rohani sekeluarga turut mendapat perhatian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Basmi Kemiskinan Zulhairy Jalaluddin, melalui Program Sinar Kasih Ramadan yang hadir menyampaikan wang tunai RM560 untuk kegunaan Rohani sepanjang bulan puasa.

Hadir sama menziarahi keluarga ini ialah Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kuala Ketil, Munawir Azizan

0 comments:

share2