Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 24, 2015

PEGAWAI RELA INSIDEN SARUNG DI JPJ TERIMA PENGHARGAAN

Suzanne G.L. Tan diarahkan pengawal JPJ, Tazidamiza Ismail, memakai sarung kerana skirtnya pendek. – Gambar Facebook, 24 Jun, 2015.



Pegawai Rela yang mengarahkan seorang wanita menutup kakinya dengan kain sarung di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Wangsa Maju diberi surat penghargaan, lapor The Star.

Ketua Pengarah Rela, Lukeman Saaid berkata penghargaan itu untuk menaikkan moral Tazidamiza Ismail susulan kejadian itu, yang menjadi viral di media sosial hingga mengundang kritikan orang ramai dan ahli politik.

“Dia menerima banyak kritikan akibat insiden itu walaupun sebenarnya dia hanya menjalankan tugas,” kata Lukeman dipetik sebagai berkata pada majlis buka puasa di Kementerian Dalam Negeri, semalam.

“Anggota Rela sepatutnya menjalankan tugas mereka mengikut prosedur operasi standard mengikut jabatan yang ditugaskan,” katanya.

Tazidamiza, pengawal keselamatan di cawangan JPJ itu ketika insiden berkenaan berlaku, dilaporkan berkata setiap hari akan ada sekurang-kurangnya seorang wanita yang datang ke situ dengan pakaian terdedah.

“Saya simpan sehelai kain batik untuk perempuan yang berpakaian seksi. Biasanya, mereka akan pakai saja sarung itu dan buat urusan mereka di pejabat ini,” katanya.

Katanya, wanita dalam insiden, Suzanna G.L. Tan, yang memuat naik gambarnya di akaun Facebook sehingga tersebar luas tidak membantah ketika diarahkan memakai sarung.

“Dia terus pakai kain sarung itu dan pergi ke kaunter. Kira-kira sejam kemudian ada seorang kakitangan JPJ beritahu saya insiden itu dimuat naik ke Facebook,” kata Tazidamiza.

Tan menulis di Facebooknya, dia ke JPJ untuk menukar hak milik kereta yang baru dijualnya dan diarah memakai sarung. Jika enggan, dia tidak akan dilayan.

Dia memakai baju dan skirt merah jambu paras atas lutut. Post yang dimuat naik berserta gambarnya kemudian ditarik balik daripada akaun media sosialnya.

Menurut The Star, Tan sedang menunggu nombor giliran ketika disuruh memakai kain sarung itu.

"Saya tidak tahu sama ada saya perlu ketawa atau menangis," kata Tan.

Susulan insiden itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lain menjelaskan JPJ tidak mempunyai dasar “sarung” dan kejadian itu akan disiasat serta-merta.

JPJ juga mengeluarkan surat permohonan maaf kepada Tan pada hari sama, dan melahirkan rasa kesal atas kejadian tersebut.

Katanya, bukan sebahagian polisi mereka menyediakan pakaian kepada pelanggan jika pakaian tersebut dianggap tidak sesuai.

Bagaimanapun, JPJ akan terus mengekalkan kod etika berpakaian kepada pengunjung seperti diamalkan di kementerian dan jabatan kerajaan.




0 comments:

share2