Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 24, 2015

DAP LAPOR POLIS SIASAT TABUNG PERIBADI PM

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mempertikaikan sumbangan dan derma daripada kumpulan syarikat Genting boleh dikategorikan sebagai rasuah sekiranya YR1M tidak dimiliki Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Jun, 2015.



DAP mempersoalkan sama ada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) merupakan tabung peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sehingga boleh membiayai pilihan raya umum 2013 hasil sumbangan sehingga RM190 juta syarikat Genting, kata Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Segambut itu dalam laporan polisnya mempertikaikan sumbangan dan derma daripada kumpulan syarikat Genting itu boleh dikategorikan sebagai rasuah sekiranya YR1M tidak dimiliki Putrajaya.

"Oleh itu, saya meminta pihak berkuasa tidak kira polis mahu pun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Bursa Malaysia atau Bank Negara mesti menjalankan siasatan ke atas transaksi kewangan 1MDB, YR1M dan syarikat Genting ini," katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur, semalam.

Laporan itu dibuat Lim berdasarkan artikel Wall Street Journal(WSJ), "Fund Controversy Threatens Malaysia’s Leader" pada 18 Jun lalu, mendedahkan syarikat pelaburan Malaysia 1MDB membeli Genting Sanyen pada harga tinggi berjumlah RM2.3 bilion dan memberikan keuntungan besar kepada kumpulan Genting sebanyak RM1.9 bilion, seperti dalam Laporan Tahunan 2012 kumpulan syarikat itu.

Genting Plantations Berhad pula dilaporkan menderma sekurang-kurangnya RM25 juta kepada YR1M atau menyumbang sehingga RM190 juta bagi tujuan pilihan raya.

Dakwaan itu mengejutkan badan pemantau bebas pilihan raya, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 yang mendesak Najib menyangkal dakwaan itu atau meletakkan jawatan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff dalam responsnya pula berkata, Bersih 2.0 sepatutnya mengumpul bukti dan melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan jika ia merasakan laporan WSJ itu ada kebenarannya.

"Kumpulkan bukti seberapa lengkap dan buat laporan kepada polis atau SPRM jika berkait rasuah supaya disiasat," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan menyoal eksekutif 1MDB mengenai dakwaan WSJ apabila mereka memberi keterangan pada awal bulan Ogos.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi jaminan akan memanggil YR1M sebagai saksi baharu kerana mahu memberi tumpuan kepada pihak yang terlibat dalam pengurusan 1MBD terlebih dahulu, iaitu Kementerian Kewangan, CEO, juruaudit, dan pengarah. 




0 comments:

share2