Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 24, 2015

AKTIVIS ORANG ASLI TOLAK DASAR TANAH ADAT

Masyarakat Orang Asal sekian lama menuntut hak mereka terhadap tanah warisan mereka, dan pelan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 masih tidak memenuhi tuntutan sedemikian, menurut aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Jun, 2015.


Di atas kertas, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) mempunyai pelan yang akan menguntungkan penduduk asal negara ini, atau Orang Asal, menerusi pengiktirafan kepada hak tanah adat mereka.

Ia seharusnya menjadi berita yang dialu-alukan kepada penduduk asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, yang akan melihat tanah pusaka mereka diambil bagi membuka ladang atau membina projek infrastruktur.

Tetapi pada hakikatnya, aktivis Orang Asal bimbang perjuangan mereka mendapatkan hak tanah akan menjadi lebih sukar jika cadangan dasar tanah di bawah RMK11 dilaksanakan.

Mereka menyifatkan RMK11 satu lagi percubaan merampas tanah Orang Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan menandatangani skim perladangan kontroversi yang akan menafikan kebanyakan tuntutan tanah mereka dan menjadi lebih miskin.

Skim ini bukanlah baharu, malah pelan dalam RMK11 dilihat sebagai pembaharuan kepada rancangan inisatif semula pada awal 2009 yang ditolak Orang Asal Semenanjung Malaysia, kata pengasas Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC), Colin Nicholas.

Skim perladangan

Ketika membentangkan RMK11, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan memberi tumpuan memberi hak Orang Asal terhadap tanah pusaka mereka termasuk tanah Hak Adat Pribumi (NCR) di Sabah dan Sarawak.

Katanya, ini bagi membolehkan mereka membangunkan tanah menggunakan teknologi moden melalui agensi kerajaan berkaitan.

Di bawah RMK11, keperluan Orang Asal di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, akan ditangani melalui pembangunan tanah dan pemilikan, serta program latihan kemahiran.

Bagi COAC, pengumuman ini sama dengan dasar pada 2009, iaitu "Memberi pemilikan dan membangunkan tanah kepada Orang Asli untuk pertanian dan penggunaan kediaman".

Di bawah inisiatif ini, pemilikan tunggal tanah kelapa sawit atau ladang getah seluas 2 hingga 6 ekar akan diberi kepada ketua setiap keluarga Orang Asal Semenanjung Malaysia, kata Nicholas.

Ia akan memberi manfaat kepada 30,000 keluarga yang mempunyai kira-kira 50,000 hektar tanah.

Jumlah penduduk Orang Asal Semenanjung Malaysia dianggarkan lebih 178,000 pada 2010.

Setiap plot tanah akan ditanam sama ada kelapa sawit atau getah, dan keluarga tidak perlu bersusah payah menanam pokok atau menguruskannya.

Sebagai balasan, mereka akan mendapat dividen bulanan bersih sehingga RM400 sebulan selepas ditolak hasil penanaman dan kos pengurusan kos.

Namun, sebagai pertukaran, mereka perlu melepaskan semua tuntutan tanah mereka sebelum ini, yang menurut Nicholas sudah diselaraskan secara rasmi di 130,000 hektar di Semenanjung Malaysia.

"Oleh itu, jika mereka menandatangani dasar pada 2009, mereka secara automatik akan kehilangan 80,000 hektar daripada apa yang mereka tuntut," kata Nicholas.

Nicholas berkata, beberapa kampung di Pahang sudah menandatangani versi skim yang dikendalikan koperasi. Tetapi pendapatan mereka tidak seberapa walaupun harga komoditi meningkat, sekali gus mendatangkan kebimbangan masyarakat lain yang mengambilnya.

"Apabila harga kelapa sawit dan getah berada pada paras tinggi beberapa tahun yang lalu, pekebun kecil mampu memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan. Tetapi Orang Asal dalam skim ini masih dibayar RM400 sebulan," kata Nicholas.

Itulah sebabnya kumpulan Orang Asal membantah skim perladangan ini. Kini mereka lebih bimbang akan dipaksa berbuat demikian di bawah RMK11.

Tiada perbincangan diadakan

Di Sarawak, aktivis Orang Asal, Nicholas Mujah, mempersoalkan keikhlasan janji RMK11 dengan berkata kerajaan negeri masih sukar menuntut hak NCR.

Ini berlaku, walaupun pengiktirafan hak tanah adat mereka sudah diputuskan mahkamah yang memihak anak negeri Sarawak dalam banyak pertikaian antara Orang Asal dan pemaju atau kerajaan negeri.

Mujah berkata terdapat kira-kira 400 kes berhubung tuntutan tanah dibicarakan di mahkamah Sarawak.

Malah, di sebalik keputusan mahkamah memberikan hak tanah pusaka kepada Orang Asal, kerajaan Sarawak terus memfailkan rayuan terhadap keputusan ini.

"Najib berkata kerajaan persekutuan akan mengiktiraf tanah kami tetapi kerajaan Sarawak masih mencabar keputusan mahkamah yang memberikan tanah kepada Orang Asal," kata Mujah yang juga setiausaha agung Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia).

"Oleh itu, seorang pun tidak akan bersetuju dengan mana-mana perbincangan. Jika kerajaan persekutuan serius tentang rancangan RMK-11, mereka perlu meminta kerajaan Sarawak supaya menghentikan langkah mencabar keputusan kes tanah." 



0 comments:

share2