KUANTAN - Atlet pelapis sukan menembak, Aina Zahiran, nyata cemerlang apabila menyumbang dua lagi pingat emas buat Pahang menerusi acara 50m Rifle Prone Wanita individu dan berkumpulan di temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, hari ini.
Bagi acara individu, Aina menewaskan penembak Nur Syahirah Zulkifli dari Selangor dan Siti Najwa Rashid dari Wilayah Persekutuan dengan pungutan 590 mata.
Nur Syahirah berada di tempat kedua dengan pungutan 587 mata manakala Siti Najwa di tempat ketiga dengan 585 mata.
"Saya sangat gembira sebab dapat sumbang pingat emas keempat untuk Pahang...saya harap dapat julang kejuaraan dalam acara 10m Air Rifle Wanita pada Khamis ini.
"Akibat kesilapan kecil ketika beraksi tadi, saya kecewa tidak dapat memecahkan rekod kebangsaan milik Nur Suryani Mohd Taibi, penembak elit negara yang mengutip 596 mata," katanya kepada pemberita di Lapang Sasar Kompleks Sukan Pahang (Sukpa).
Bagi acara berpasukan, Aina dan dua lagi rakan sepasukannya, Nurul Izzatie Roslan dan Nur Afifah Tarmizy dinobatkan sebagai pemenang pingat emas untuk mengetepikan trio Terengganu dan Negeri Sembilan dengan pungutan 1,755 mata.
Pasukan Terengganu di tempat kedua menerusi gandingan Syarifah Aesyah Kamilah Syed Ahmad, Athirah Hamzah dan Nurul Izzati Ali mengumpul 1,729 mata.
Manakala trio Negeri Sembilan iaitu Nurul Hazwani Mazlan, Siti Normadhati Mahadi dan Nieti Nazieza Mohd Nazar berada di tempat ketiga dengan bidikan 1,724 mata.
Aina penyumbang utama pingat emas bagi acara 50m 3 position wanita individu dan berpasukan pada hari pertama kejohanan semalam.
0 comments:
Post a Comment