Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 14, 2014

KUBUR DIKOREK MUNGKIN PERBUATAN KHIANAT




Kuantan - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat menjadi punca lebih 100 kubur di Tanah Perkuburan Jawi-Jawi, Pelangai dekat Bentong digali dan diambil tanahnya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kini sedang membantu polis bagi menyiasat punca sebenar kubur terbabit digali.

"Kita juga sudah meminta pegawai dari Pejabat Agama daerah melakukan siasatan susulan dengan menemu bual penduduk kampung berkenaan. 

"Terdapat dua kemungkinan dalam kejadian ini... mungkin individu atau kumpulan ini mengambil tanah dari kubur di situ untuk tujuan khurafat, untuk pemujaan atau apa-apa tujuan yang bertentangan dengan akidah Islam.

"Kita juga kena siasat jika perbuatan itu berunsur khianat semata-mata, dan jika perbuatan ini adalah dengan niat melakukan khianat, polis boleh ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu melakukan khianat kepada harta awam," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Syed Ibrahim berkata, jika terbukti individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan itu untuk kegiatan pemujaan atau ajaran sesat, pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada mereka.

Katanya, kerajaan negeri juga amat kecewa dengan kejadian itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab dikesan dalam masa terdekat. 

"Saya difahamkan polis sudah mengawal kawasan tanah perkuburan itu sebaik menerima laporan daripada penduduk kampung dan mereka sedang melakukan siasatan dengan mengumpul bahan bukti di kawasan berkenaan.

"Pegawai dan kakitangan Jaip juga akan membantu polis selepas semua urusan siasatan selesai," katanya.

Dalam kejadian itu, kubur di kawasan itu dikorek antara 7.6 sentimeter (sm) hingga 12.7sm oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mengambil dua atau tiga kepal tanah di situ.

Selain tanah, mereka turut mencabut batu nisan dan binaan lain di kawasan tanah perkuburan terbabit.

0 comments:

share2