Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 13, 2016

[BENTONG] MISTERI AIR TERJUN CHAMANG - MASIH ADA YANG HILANG



Sikap cuai dan enggan mematuhi arahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan ketika berada di kawasan hutan lipur dan air terjun boleh meragut nyawa pengunjung.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Bentong, SM (PA) Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, pada tahun lalu tiga pengunjung luar mati lemas ketika mandi manda di Air Terjun Chamang di sini dan ia angka korban tertinggi di kawasan itu setakat ini.

Menurutnya, bagi mengelak insiden seumpama itu berulang, Jabatan Perhutanan meletakkan papan tanda amaran yang sering tidak diendahkan pengunjung.

“Di Air Terjun Chamang, paling berbahaya ialah kawasan paling tinggi. Sering berlaku kejadian lemas di situ.

“Pengunjung luar dari kawasan Bentong tidak tahu tahap kedalaman air di kawasan berkenaan, yang mana bukan sahaja dalam, malah deras,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, pengunjung luar juga tidak memahami fenomena kepala air yang sangat berbahaya, terutamanya ketika musim tengkujuh.

“Kepala air ini sangat bahaya kerana boleh menyebabkan arus deras. Penduduk setempat sudah biasa dengan situasi ini, tapi orang luar yang datang rata-ratanya tidak tahu," katanya.

Menurutnya, disebabkan keadaan itu, Air Terjun Chamang dan semua kawasan rekreasi di sini akan ditutup kepada pengunjung ketika musim tengkujuh

Katanya, kawasan berkelah itu akan kembali dibuka kepada umum pada awal Februari dan JPAM sedang merangka sistem keselamatan yang lebih baik.

“Ini termasuklah menyediakan penyelamat kecemasan sekitar empat hingga enam anggota JPAM sebagaimana diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahiddan Kassim sebelum ini.

“Selain itu, kita juga akan cuba pasang siren kecemasan selain merancang untuk menempatkan sistem pembesar suara bagi memudahkan anggota bertugas mengawal pengunjung dari melanggar peraturan hingga boleh mengancam nyawa,” katanya.

Mohd Zulkhairi berkata, Komuniti Hiking Bentong yang amat berpengalaman akan cuba diserapkan ke dalam JPAM sebagai salah satu usaha untuk menjamin keselamatan pengunjung Air Terjun Chamang dan Gunung Rajah.

Beliau berkata, usaha mengawal dan menjaga keselamatan pengunjung akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan 2017 akan menjadi tahun melawat Pahang.

“Air Terjun Chamang merupakan sebuah pusat rekreasi dengan jumlah pengunjung tertinggi bagi negeri ini, justeru penting untuk meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kematian di sini,” katanya.

 Sanggup risiko nyawa

Berkongsi pengalamannya terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas, Zulkhairi berkata, anggota JPAM sentiasa bersiap sedia untuk membantu walaupun berdepan bahaya.

Katanya, atas keberanian ditunjukkan, empat anggota JPAM menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah JPAM, Datuk Zaitun Ab Samad ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas pada 31 Ogos lalu.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh pasukan skuba JPAM Bentong yang turut dianggotai Wan Abdul Halim Wan Omar.

Halim merupakan individu pertama yang menjumpai mayat mangsa dalam tempoh kurang dari lapan minit selepas operasi bermula.

Sementara itu mengulas mengenai pengalamannya itu, Halim berkata, dia nekad mencari mangsa walaupun terpaksa merisikokan nyawanya ketika itu.

“Arus air memang sangat deras, malah jarak pandangan juga hanya sedepa dari depan. Pandangan agak kabur.

“Saya cuba cari mangsa di celah-celah batu di dalam dasar dan tidak lama selepas itu saya terlihat kaki mangsa yang tersekat antara batu sebesar pemeluk dan batu tebing,” katanya.

Menurutnya, beliau segera mengikat badan mangsa menggunakan tali menyelamat dan memberi isyarat kepada anggota lain supaya menariknya beberapa kali.

“Namun disebabkan arus terlalu kuat, anggota lain sangka isyarat tarik yang saya tunjuk itu bermaksud saya perlukan tali lebih panjang.

“Saya kemudiannya mengambil keputusan menaikkan sendiri mangsa, namun sebaik hendak menaikkan mangsa itu, saya juga nyaris hanyut kerana arus terlalu deras. Mujur saya masih ada set menyelam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa ditemui pada kedalaman lima meter dan kebanyakan mangsa tidak tahu bahawa beberapa kawasan di Air Terjun Chamang sangat dalam.

“Apabila mereka lihat penduduk tempatan bermain di kawasan itu, mereka juga hendak turut serta sedangkan mereka tidak mahir berenang dan tidak dapat agak kedalaman air,” katanya.


Gua dalam air

Sepanjang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Air Terjun Chamang, Halim berkata, beliau tidak dapat melupakan mangsa yang sehingga kini tidak dapat ditemui.

“Kejadian berlaku sekitar dua atau tiga tahun lalu di mana sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

“Ada penduduk setempat beritahu ada gua di dalam dasar Air Terjun Chamang itu di mana jika termasuk ke dalam, mangsa akan hilang dibawa arus. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya.

“Namun ketika saya menyelamatkan mangsa pada 31 Ogos tahun lalu, ia mengingatkan saya pada mangsa yang masih hilang sehingga kini kerana lokasinya sama," katanya.

Menurutnya, pada zahirnya, Air Terjun Chamang kelihatan tidak berbahaya, namun di bawah dasar air, terdapat permukaan batu berlekuk dan kebiasaannya mangsa lemas akan tersekat di bawah batu-batu berkenaan.


Sumber

0 comments:

share2