Umum mengetahui tarian piring berasal dari Minangkabau, Indonesia dan ia juga terkenal sebagai tarian tradisi masyarakat Negeri Sembilan.
Namun begitu, Pahang juga mempunyai tradisi tarian piringnya yang tersendiri dikatakan sudah wujud sejak ratusan tahun dahulu.
Jika di Negeri Sembilan, gerakan tarian piring adalah berasaskan gerakan menuai padi manakala di Pahang, gerakan berasaskan bunga seni silat Pahang.
Bagi orang asal Pahang, tarian piring suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang asing terutamanya ketika majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan.
Difahamkan tarian piring di daerah ini adalah tradisi yang pada mulanya wujud di kawasan Tembeling dan kemudiannya tersebar ke seluruh kawasan lain.
Bagi penduduk Jerantut Feri, tarian piring dibawa mereka sejak turun temurun adalah tarian piring Pendekar Ahmad yang diiringi muzik gendang ketawak terdiri dari poyang atau rebana, ibu dan anak gendang serta gong.
Namun, dilihat kini sudah tidak ramai anak-anak muda tahu menggerakkan tarian piring kerana ia sudah lagi tidak dipelajari dan diperturunkan kepada generasi baharu.
Justeru itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Sabri Kamaludin yang tekad mahu mengembalikan semula tradisi dan budaya Pahang ini membuka kelas mengajar tarian berkenaan seminggu sekali sejak kira-kira dua bulan lalu.
Mohd Rifqi (dua, kanan) memainkan gong mengiringi muzik tarian piring.
Sabri berkata, selain mengekalkan budaya dan tradisi Pahang, kelas itu bertujuan mengetengahkannya kepada masyarakat umum bahawa Pahang juga mempunyai keunikan budaya yang tersendiri.
“Kelas yang diadakan setiap hari Ahad bermula jam 5.30 petang bertempat Dewan Serbaguna Jerantut Feri itu diajar satu-satunya guru tarian piring yang masih ada di daerah ini, Ab Mutalib Buyong.
“Kita tahu Johor ada tarian zapinnya dan Kelantan terkenal dengan dikir baratnya. Tapi ramai tidak tahu keunikan budaya dan tradisi yang ada di Pahang,” katanya
Ab Mutalib pula berkata, seni tarian piring dipelajarinya daripada Pertubuhan Silat Pendekar Ahmad ketika berusia awal 20-an dan etika itu, tarian piring mendapat sambutan penduduk setempat.
“Sekarang sambutan semakin kurang dan orang asal yang mempelajari dan membawa tarian piring ini juga sudah meninggal dunia.
“Kini tinggal saya seorang saja dan pihak JKKK memohon saya untuk melatih generasi seterusnya supaya ia tidak lupus ditelan zaman. Sayang jika tak diajar sebab kalau saya tiada, tiadalah pewaris tarian piring Pendekar Ahmad,” katanya.
Bercerita lanjut tentang tarian piring Pendekar Ahmad Ab Mutalib berkata, penari akan dilengkapkan dengan cincin timah dan piring sepanjang tarian.
“Cincin timah disarung pada jari telunjuk akan mengetuk piring dan mengeluarkan bunyi yang turut mengiringi alunan gendang muzik khas untuk tarian piring.
Peralatan asas yang perlu ada untuk tarian piring ialah cincin timah dan piring.
“Jika sebelah malam, piring ini akan diletakkan lilin dan gerakan akan kelihatan lebih cantik dengan pencahayaan dari lilin itu. Tapi biasanya, hanya cincin timah dan piring sebagai asas tarian,” katanya.
Menurutnya, tarian piring Pahang berasaskan bunga Silat Pendekar Ahmad seperti bunga layang sambung, bunga tongkat, bunga layang kanan dan kiri, serta bunga ekor.
“ Setiap bunga diselangi pecahan dan ia pergerakan asal sejak dulu lagi dan tak akan berubah,” katanya.
Menurutnya, seramai kira-kira 30 penduduk Jerantut Feri yang menyertai kelasnya pernah mengadakan persembahan pada dua kenduri perkahwinandan ketika ini mengadakan persiapan bagi persembahan sempena sambutan tahun baharu tidak lama lagi.
“Kumpulan itu disertai kanak-kanak berumur lima tahun iaitu Siti Nur Adira Mohd Asri yang berminat untuk menyertai kelas dari awal kelas dibuka lagi.
“Bukan itu saja, abangnya, Mohd Rifqi Fatullah Mohd Asri, berusia sembilan tahun juga terlibat bermain alat muzik gendang dan gong bagi mengiringi tarian piring,” katanya.
Ibu kedua-dua kanak-kanak itu, Rosnah Daud, 46, berkata, kedua-dua beradik itu sememangnya dari kecil terdidik dengan budaya dan tradisi Pahang.
“Kedua-duanya pandai bermain alat muzik tradisional dan tarian tradisional selain juga berminat dengan seni silat sejak mereka kecil lagi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment