
Masjid Jamek Triang berubah wajah apabila menerima sumbangan permaidani baharu selepas lebih lima tahun tidak bertukar ganti.
Setiausaha Jawatankuasa Masjid, Yahya Kamarudin berkata, ini merupakan kali kedua permaidani di masjid ini ditukar, namun apa yang penting adalah untuk keselesaan jemaah menjalani ibadah.
“Jemaah melebihi 100 orang setiap kali aktiviti dilaksanakan, dan sekiranya terdapat majlis-majlis rasmi, jumlah jemaah melebihi jangkaan kami.
“Jadi, kami fikir tidak salah kami memohon untuk menggantikan permaidani itu,” katanya.
Sumbangan itu daripada Ahli Parlimen Bera dan Pegawai Khas, Tahzir Husain turut kelihatan semasa proses pemasangan dilakukan.
Yahya berkata, permaidani lama akan digunakan untuk dihampar dalam bilik mesyuarat jawatankuasa, manakala selebihnya akan disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, ia bagi mengelakkan pembaziran, kerana kos pembelian dan pemasangan permaidani sebelum ini juga agak tinggi.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu pihaknya turut menjemput dua orang imam muda dari Maahad Tahfiz Machang, Kelantan bagi mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.
“Selain kami jemput mereka sebagai imam, secara tidak langsung, kami juga memberi peluang kepada jemaah untuk bersama dengan imam muda ini. Malah, pada waktu siang pula, jemaah juga berkesempatan mengaji al-Quran atau bertadarus bersama imam tersebut,” katanya.

0 comments:
Post a Comment