Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 21, 2015

KUANTAN: SENDIRIAN JAGA ANAK SAKIT KRONIK


Sendirian jaga anak sakit kronik


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah perumpamaan yang paling tepat digambar kepada ibu tunggal Zaiton Yusoff, 44, apabila terpaksa bersendirian menyara tiga anaknya termasuk dua daripada mereka menghidap penyakit kronik.

Dugaan berat terpaksa dipikul olehnya selepas ditinggalkan suami sejak lapan tahun lalu, Zaiton mula menggalas tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak dengan bekerja sebagai pembantu tukang masak pembantu tukang masak di kantin pusat latihan kemahiran Giat MARA, Batu 6, di sini.

Kehidupannya bertambah perit apabila keduanya, Nur Farah Idayu Mat Hamzah, 19, menderita penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) sejak dua tahun lalu manakala anak bongsu, Mohd Putraazamuddin, 9, pula menghidap jantung berlubang dan telah menjalankan pembedahan ketika usianya enam tahun.

“Saya terima Redha dengan ujian yang ALLAH berikan ini dan tidak berputus asa untuk terus mendapatkan rawatan walaupun sumber kewangan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Katanya, walaupun hanya berpendapatan harian sekitar RM50 sehari, namun dia sedaya upaya mencuba memberi kehidupan terbaik buat anak-anaknya.

“Pendapatan sejumlah itu, memang tidak cukup untuk keperluan kami sekeluarga termasuk kos rawatan dua anak. Jadi mahu tidak mahu, saya terpaksa berjimat cermat supaya kami anak-beranak tidak kelaparan,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa tidak pernah menerima bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat walaupun beberapa kali memohon, malah dua anaknya yang bersekolah juga tidak pernah menerima bantuan persekolahan.

Bagaimanapun, Zaiton bernasib baik kerana masih mempunyai tempat berteduh apabila ada individu prihatin membenarkannya menumpang di rumah didiaminya sekarang di Lorong Bahagia, Kampung Seri Damai, di sini, secara percuma.

“Saya mendiami rupa ini secara percuma dan tuan rumah tidak pernah meminta wang sewaan. Cuma dia meminta untuk saya menjaga rumah ini. Alhamdulilah saya cukup bersyukur kerana masih ada yang mulia membantu saya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, disebabkan kesempitan wang, dia mengakui tidak mampu menjelaskan bil hospital anak keduanya yang masih tertunggak sebanyak RM727 di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, Kelantan dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Anak kedua saya disahkan mengidap penyakit itu ketika dia tingkatan lima dan pernah dirujuk di dua buah hospital terbabit serta perlu mendapatkan rawatan setiap bulan.

"Nur Farah Idayu perlu makan ubat hampir 30 biji sehari, dan jika kurang ia boleh memudaratkan anak perempuannya iaitu muntah apabila makanan di masukan ke dalam mulut,” katanya.

Sungguhpun berdepan dengan pelbagai kesukaran, masih ada senyuman yang terpancar di wajah Zaiton dan dia kelihatan begitu kental menempuh kehidupan ini.

“Selagi saya ada kudrat, Insya-ALLAH saya akan bekerja keras untuk membesarkan anak-anak saya,” katanya.

0 comments:

share2