Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 21, 2015

KUALA LIPIS: KERAJAAN SUMBANG RM19,000 SEMPENA RAMADAN


Kerajaan sumbang RM19,000 sempena Ramadan


Kerajaan Persekutuan menyumbangkan sebanyak RM19,000 kepada 24 buah Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Penempatan Islam Orang Asli dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Koyan kawasan Mukim Jelai untuk berbelanja bagi memuliakan bulan Ramadan al-Mubarak.

Sumbangan bernilai antara RM500 hingga RM1,000 itu telah pun disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sri G Palanivel. 

Wan Rosdy berkata, sumbangan Kerajaan Persekutuan termasuk dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada penduduk Jelai bertujuan untuk mengimarahkan masjid menerusi kegiatan moreh, solat terawih dan tadarus al-Quran bagi memuliakan bulan Ramadan.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian usaha kerajaan pada bulan Ramadan untuk kemudahan JKKK, saudara Islam Orang Asli dan pentadbir sekolah melaksanakan kegiatan dakwah Islamiah dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kita menyediakan bantuan ini sepanjang masa untuk mewujudkan kekuatan ukhuwah dan perhimpunan di masjid serta impak menjana masyarakat sejahtera tanpa mengira pangkat dan fahaman politik termasuk kalangan Orang Asli yang beragama Islam,” katanya selepas penyampaian sumbangan itu di Felda Sungai Koyan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, usaha berterusan oleh kerajaan dapat membina keyakinan penduduk agar bermuhasabah diri dan rasional melihat pelbagai usaha dilakukan untuk menangani kemiskinan.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abd Hamid, 45, berkata sumbangan itu meringankan pengurusan JKKK untuk berbelanja mengimarahkan rumah ibadat dengan mengajak penduduk masing-masing menghayati bulan mulia ini menerusi amalan Islam.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pesekutuan dan Jakim menerusi sumbangan berkenaan telah menterjemahkan nilai prihatin kepada pengurusan JKKK yang berperanan membantu pemimpin setempat menerusi transformasi modal insan, iaitu dakwah Islamiah dan sosial,” katanya.

Menurutnya, sumbangan itu menzahirkan kerajaan menerusi agensi di bawahnya dan pemimpin setempat mampu menangani pelbagai kebajikan serta masalah penduduk sekali gus dapat memeriahkan program ibadah tertentu sepanjang bulan Ramadan.

0 comments:

share2